Kes Japanese Encephalitis Di Tambunan Sedang Dipantau Rapi

142
Gambar internet.

KUALA LUMPUR: Situasi Kes Japanese Encephalitis (JE) di Malaysia termasuk di Sabah sedang dipantau dengan rapi di peringkat Kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tahun ini sejumlah 15 kes JE dilaporkan di Malaysia melibatkan tiga kes kematian iaitu dua di Sarawak dan satu di Perak bagi tempoh Januari sehingga 13 Julai lepas.

“Daripada jumlah 15 kes JE yang dilaporkan, empat kes adalah dari Sabah iaitu masing-masing satu kes di daerah Manggatal, Ranau, Papar dan Tambunan.

“Kesemua kes adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas mengenai artikel portal berita Free Malaysia Today (FMT) bertajuk ‘Menteri Sabah sahkan virus JE dalam baba’ dan The Star Online bertajuk ‘Virus JE dikesan di ladang babi di Tambunan’ yang diterbitkan semalam.

“Seperti yang dinyatakan The Star Online, kes terbaru di daerah Tambunan dilaporkan pada 12 Julai lepas melibatkan seorang lelaki dewasa berumur 20 tahun. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Keningau pada 8 Julai lepas dan kini masih menerima rawatan di wad perubatan hospital terbabit.

“Manakala kes JE yang dinyatakan FMT melibatkan kanak-kanak berumur tujuh tahun dari Taman Sentoria, Kota Samarahan Sarawak merupakan kes yang dilaporkan pada 2017 dan disahkan bukan kes JE,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, JE merupakan sejenis penyakit bawaan vektor disebabkan oleh flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’ dan ia endemik di India, Thailand, Filipina, Cambodia, Vietnam dan Malaysia.

Khinzir dan burung liar merupakan penampung semula jadi bagi virus ini dan ia boleh disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex. Bagaimanapun, bagi manusia merupakan jangkitan membawa maut di mana transmisi jangkitan tidak boleh berlaku daripada seorang individu kepada individu yang lain,” katanya.

Tanda-tanda dan gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan.

“Individu yang mengalami tanda-tanda itu perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Penyakit JE Dikesan Di Tambunan