Kes Denggi Di Labuan Menurun – Dr Ismuni Bohari

Gambar internet.

LABUAN: Jumlah kes denggi di pulau bebas cukai ini menurun kepada 23 setakat ini berbanding 56 kes pada tempoh sama tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata tiada kes membabitkan kemasukan ke wad setakat ini berbanding empat orang yang dirawat di hospital tahun lepas.

“Kesemua 23 kes dikenal pasti dari beberapa kawasan di pulau ini, dan kami bimbang tentang kes denggi yang diimport dari tanah besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘1st Borneo Aquatic Emergency Medical Response Workshop 2019’ di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kepada orang awam supaya bersama-sama mengawal penularan denggi dengan menghapuskan habitat nyamuk aedes dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom seperti demam, ruam, sakit badan dan hilang selera makan.

“Pasukan penguatkuasaan kami dikerahkan ke kawasan kediaman terutamanya di flat kos rendah dan tapak pembinaan serta kampung, longkang dan taman awam untuk memeriksa tapak pembiakan nyamuk,” katanya.

Beliau berkata penempatan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kampung Muslim yang diduduki pelarian Filipina masih kekal sebagai hotspot denggi.