Kes Covid-19 Sabah Turun-Naik Ibarat Yoyo

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes Covid-19 di negeri ini boleh diibaratkan seperti Yoyo yang menunjukkan penurunan dan kenaikan dari segi bilangan kes positif baharu yang dilaporkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, berdasarkan pengamatan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), kes di negeri ini kerap turun dan naik bergantung kepada kluster baharu dan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan.

Beliau berkata, pada ketika ini ujian saringan dalam komuniti mula menunjukkan penurunan kes namun, kewujudan kluster-kluster tertentu yang sukar dijangka menyumbang kepada peningkatan kes.

“Sekiranya saringan mengikut kluster masih dijalankan dan keputusan belum diperoleh sepenuhnya. Bila berlaku kes tertunggak, ini akan mengakibatkan statistik kes meningkat.

“Biarpun sekarang kita dalam mod penurunan kes namun, kita berdepan keadaan yang tidak dijangka jika berlaku kluster baharu,” katanya ketika ditanya mengenai situasi kes Covid-19 di Sabah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah secara atas talian, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai kes Covid-19 di Pantai Timur seperti Tawau, Lahad Datu dan Semporna yang mula menunjukkan penurunan, Masidi berkata, ia merupakan hasil aktiviti kawalan jangkitan yang pantas oleh JKNS dan penguatkuasaan pasukan keselamatan yang ketat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Malah, peranan dimainkan penduduk dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Pantai Timur Sabah turut membantu kepada penurunan kes. Maka, penduduk di kawasan terlibat perlu terus mematuhi SOP bagi mengelakkan berlaku peningkatan semula kes di kawasan tersebut.