Kes COVID-19 Sabah Turun Kepada 294

KOTA KINABALU: Kes harian Covid-19 di Sabah menunjukkan penurunan kepada 294 kes positif hari ini.

Jumlah itu menurun sedikit berbanding 351 kes positif yang dilaporkan kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebanyakan daerah mencatatkan kes yang turun-naik setiap hari.

Daerah Kota Kinabalu masih kekal mencatatkan kes tertinggi hampir setiap hari dengan 60 positif kes direkodkan hari ini.

Beliau berkata, jumlah dan peratusan yang tinggi setiap hari bagi kes-kes jangkitan sporadik harus dilihat sebagai satu amaran dan peringatan kepada semua untuk mengelakkan diri daripada berada di tempat-tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurang risiko jangkitan.

Di samping itu, semua pihak harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang masa.

“Kita baharu sahaja dikejutkan dengan varian baharu Omicron yang dikatakan menjangkit lebih cepat daripada varian sebelumnya. Peratusan kes jangkitan sporadik hari ini ialah 36 peratus dan kelmarin 38 peratus manakala 42 peratus direkodkan padda Jumaat.

Menurutnya, selain Kota Kinabalu, daerah lain yang mencatatkan kes yang tinggi ialah Tuaran dengan 30 kes, Ranau 28 kes, Penampang serta Beaufort masing-masing mencatatkan 18 kes positif.

Daripada 294 kes hari ini, 287 atau 98 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.