Kes COVID-19 Sabah menurun kepada 751 Kes

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 di Sabah menurun kepada 751 kes berbanding 1,078 kes dan ia merupakan kes terendah sejak 4 Ogos lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ini kalu kedua kes Sabah menurun di bawah paras 1,000 kes.

Beliau berkata, perubahan angka jangkitan yang direkodkan di setiap daerah masih tidak statik. Walau bagaimanapun, trend penurunan angka jangkitan hari ini adalah selari dengan jumlah daerah yang merekodkan penurunan kes iaitu sebanyak 18 daerah, dengan enam daerah mencatatkan peningkatan.

Katanya, daripada 751 kes hari ini, sebanyak 341 kes merupakan kes daftar lewat antara dua hingga melebihi lima hari.

Hari ini, Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes tertinggi dengan 140 kes, Kinabatangan 67 kes, Sandakan 60 kes, Keningau 51 kes dan Lahad Datu 50.

Beliau berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah dengan 366 kes atau 48.7 peratus, saringan bergejala 232 kes manakala, 46 kes daripada saringan kluster, satu kes daripada saringan bersasar dan 106 kes melalui saringan lain-lain.

Kes-kes bergejala yang juga dikenali sebagai kes-kes jangkitan sporadik sering dikaitkan dengan kegagalan mematuhi SOP dan penjagaan kesihatan diri.

Tambahnya, 30.9 peratus kes di Sabah adalah daripada kategori saringan bergejala. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah kunci utama penjagaan diri untuk mengelak daripada jangkitan virus Covid-19.