Kes COVID-19 Sabah Kembali Lepasi 1,000 Kes

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 kembali melepasi angka 1,000 kes, dengan 1,078 kes dan 22 kes kematian.

Semalam buat pertama kali sejak 4 Ogos, Sabah mencatakan kes di bawah paras 1,000 kes iaitu 962 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, trend perubahan angka bagi kadar jangkitan harian adalah tidak statik dan sentiasa berubah.

Trend ini berubah dengan kebarangkalian dipengaruhi oleh sejauh mana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh masyarakat.

“Semakin tinggi kadar pematuhan SOP maka semakin rendah risiko untuk berlaku pertambahan jangkitan.

“Hari ini, jumlah peningkatan kumulatif kes Sabah selari dengan statistik bilangan daerah mencatatkan peningkatan kes iaitu 14 daerah berbanding 12 daerah yang mencatatkan penurunan kes.

“Kes-kes tertunggak pula mula menunjukkan pengurangan dengan 506 kes daftar lewat antara dua hingga melebihi lima hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Lahad Datu mencatatkan kes tertinggi dengan 131 kes, diikuti dengan Kota Kinabalu 123 kes, Keningau 109 kes, Sandakan 81 kes dan Ranau 69 kes.

Beliau berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kes di Sabah dengan 611 kes atau 56.7 peratus manakala, saringan bergejala 306 kes, 36 daripada saringan kluster dan 125 kes melalui saringan lain-lain.

Satu lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Kampung Bambangan Telupid yang bermula 27 September hingga 10 Oktober ini.