Kes COVID-19 Penampang Meningkat Tiga Kali Ganda

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 1,514 kes positif baharu Covid-19 dengan 13 kes kematian dan satu kluster baharu yang dilaporkan di Sook, Keningau.

Daripada jumlah itu, kes yang dilaporkan di Penampang mencatat peningkatan tiga kali ganda iaitu daripada 80 kes semalam kepada 228 kes positif pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sebanyak 60.5 peratus kes positif Covid-19 di Penampang membabitkan kontak rapat dan 33.3 peratus dikesan melalui saringan bergejala.

Hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 263 kes, diikuti Penampang 228 kes, Keningau 140 kes, Tawau 137 kes dan Sandakan 104. Daerah-daerah lain mencatatkan kes dua angka dan hanya lima daerah mencatatkan kes satu angka.

Kluster baharu yang dilaporka  di Keningau adalah kluster Batu 27 Sook yang melibatkan wanita, bukan warganegara berusia 23 tahun.

Setakat hari ini, daripada 136 orang yang telah disaring, 55 kes didapati positif termasuk 50 kes baharu hasil saringan di kuarters pekerja atas inisiatif pengurus perusahaan/ kuarters.

Penularan dalam kluster ini dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat antara penghuni rumah sewa yang padat.

Menurutnya, secara keseluruhan 925 kes atau 61.10 peratus kes hari ini melibatkan rontak rapat, sebanyak 331 dikesan melalui saringan bergejala dan 118 kes daripada kluster-kluster baharu dan sedia ada.

Tambahan  1,514 menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 97,979 kes dengan kumulatif kes sembuh 84,709 orang.

Sebanyak 4,688 pesakit sedang menerima rawatan di hospital, pusat kuarantin serta pusat tahanan sementara/penjara.

Ketika ini, terdapat 153 orang ditempatkan di unit rawatan rapi dan 66 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi kebenaran kepada warga Malaysia dan bukan warganegara untuk menerima vaksin secara walk-in di semua Pusat Pemberian Vaksin(PPV).

Usaha itu diambil bagi mempercepatkan pencapaian imuniti berkelompok sebanyak 60 peratus menjelang Oktober ini.