Kes COVID-19 Menurun, Enam Daerah Catat Dua Angka

KOTA KINABALU: Sabah meneruskan trend penurunan kes Covid-19 dengan 181 kes positif baharu dan tiga kematian dilaporkan hari ini.

Daerah yang mencatatkan kes dua angka juga semakin berkurang iaitu hanya enam daerah manakala, 14 daerah mencatatkan kes satu angka selebihnya tujuh daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata,
situasi ini menunjukkan kes-kes jangkitan Covid-19 di Sabah semakin stabil.

Jika dilihat daerah-daerah di Sabah juga mula beralih kepada zon jingga dan kuning. Setakat ini, empat daerah berada dalam zon kuning dan dua dalam zon jingga.

Hari ini, Tuaran mencatatkan kes tertinggi dengan 35 kes positif diikuti dengan Kota Kinabalu 31 kes, Penampang 19 kes, Kota Belud 15 kes dan Papar 14 kes.

Secara keseluruhan, daripada 181 kes, 173 kes merupakan pesakit dalam kategori 1 manakala, dua orang dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5. Kes yang melibatkan tiga orang pesakit lagi masih dalam penilaian lanjut JKNS.
Berdasarkan statistik yang direkodkan, 118 pesakit yang dijangkiti sudah menerima dua dos lengkap dan tujuh kes membabitkan pesakit yang sudah menerima dos penggalak manakala, 26 pesakit belum menerima vaksin.

Sehingga kini, kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah sebanyak 237,303 kes dan bilangan kumulatif kes pulih sebanyak 228,190 orang.

Seramai 990 pesakit masih menerima rawatan di hospital dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19. Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal seramai 48 orang iaitu 45 orang di unit rawatan rapi (ICU) dan 12 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.