Kes COVID-19 Menurun Dibawah Paras 1,000

KOTA KINABALU: Selama lebih sebulan mencatatkan kes yang tinggi akhirnya, kes positif Covid-19 di Sabah berada di bawah paras 1,000 kes iaitu 962 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, buat kali pertama sejak 4 Ogos lalu, Sabah mencatatkan kes di bawah paras 1,000.

Jumlah ini menunjukkan penurunan 311 kes, berbanding 1,273 kes semalam.

“Hari ini juga, tiada daerah yang mencatatkan kes tiga angka dan kebanyakan daerah merekodkan penurunan kes positif.

“Ini satu petanda baik namun, masih terlalu awal untuk meramalkan samada trend penurunan ini akan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 91 kes, diikuti Sandakan 81 kes, Lahad Datu 73 kes, Tuaran 70 kes, Kota Marudu 65 kes dan Tawau 64 kes.

Daripada 962 kes yang didaftar hari ini, sebanyak 415 kes daftar lewat antara dua hingga melebihi lima hari.

Katanya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah dengan 492 kes atau 51.1, diikuti saringan bergejala 368 kes, enam kes daripada saringan kluster dan 96 kes melalui saringan lain-lain.

Daripada 962 kes hari ini, sebanyak 717 kes atau 74.53 peratus merupakan pesakit bagi kategori 2 manakala, 144 kes adalah pesakit dalam Kategori 1.