Kes Covid-19 Kota Kinabalu Kini Mencecah 6,818 Kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Daerah ini masih mencatatkan bilangan kumulatif kes positif Covid-19 tertinggi berbanding daerah lain di Sabah.

Bilangan kumulatif kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu kini berjumlah 6,818 kes dengan 1,337 kes aktif, iaitu kes yang masih menerima rawatan. Daerah ini turut mencatatkan 20 kluster setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi menerusi Facebook PKN Sabah memaklumkan, daripada 26,098 kes yang dilaporkan di Sabah, 6,818 kes dilaporkan di Kota Kinabalu.

Sementara Tawau yang mencatatkan 4,777 kes dengan 787 kes aktif. Diikuti dengan Sandakan yang mencatatkan 4,127 kes dengan 1,267 kes aktif.

Beliau berkata, daerah Lahad Datu mencatatkan 2,121 kes dengan 690 kes aktif dan Semporna pula mencatatkan 2,112 kes, dengan 227 kes aktif.

Sehingga semalam, masih terdapat 5,793 kes aktif Covid-19 yang dicatatkan di 25 daerah di Sabah. Ia termasuk Tuaran dengan 446 kes aktif, Penampang 345 kes aktif, Kudat (219), Papar (119), Putatan (115), Keningau (111), Kota Belud (90), Pitas (35), Beluran (28), Ranau (25), Beaufort (22), Kuala Penyu (17) dan Kota Marudu (10).

Sementara di Sipitang terdapat sembilan kes aktif, Telupid (5), Kunak (5), Kinabatangan (2), Tenom (2) dan satu kes aktif masing-masing di Tongod dan Tambunan.

Menurutnya, sehingga kini 81 kluster Covid-19 dilaporkan di Sabah. Bilangan kematian di Sabah setakat ini adalah 192 kes termasuk tiga kematian baharu semalam.

Sehingga kini, 20,857 orang masih menjalani perintah kuarantin 14 hari di rumah dan 2,048 menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di seluruh Sabah.

Manakala, bilangan individu yang selesai menjalani perintah kuarantin di rumah dan PKRC sehingga kini adalah seramai 204,284 orang dimana, 179,648 orang tamat menjalani kuarantin di rumah sementara 24,636 orang tamat menjalani kuarantin di PKRC.

Bilangan kumulatif kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah sebanyak 2,120.