Kes Covid-19 Di Pantai Barat Dijangka Melonjak Naik – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memberi jaminan kes Covid-19 di Pantai Timur Sabah boleh dikawal dengan baik.

Beliau berkata, biarpun kes Sabah masih berada pada tahap yang tinggi namun, ada tanda-tanda baik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bahawa mereka boleh mengawal keadaan di Pantai Timur Sabah.

Bagaimanapun, di Pantai Barat khususnya daripada kluster Penjara Kepayan, ia dijangka akan menyumbang kepada peningkatan kes yang tinggi di Kota Kinabalu.

Katanya, terdapat 2,700 orang banduan yang ditempatkan di Penjara Kepayan. Jumlah yang ramai itu memberi gambaran bahawa kes di Kota Kinabalu akan melonjak kepada satu angka yang amat tinggi dalam beberapa hari ini.

Atas sebab itulah, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan penjara di Kampung Matambai, Kepayan.

Mengenai keperluan pekerja swasta melakukan ujian saringan Covid-19 (swab test), beliau berkata, prosedur telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keperluan itu.

Itu adalah peraturan dikenakan sebelum seseorang pekerja dibenarkan datang bekerja dimana, mereka dikehendaki menjalankan ujian saringan terlebih dahulu. Sekiranya negatif, baru mereka dibenarkan datang bekerja.

“Atas sebab itu, kita galakkan mereka mengambil saringan Covid-19. Cuma kita berdepan cabaran dimana, sesetengah orang enggan mengambil ujian saringan. Jangan tunggu gejala makin teruk baru hendak menjalani saringan.

“Sekiranya ada tanda-tanda awal, ambil ujian saringan segera,” katanya semasa sidang media mengenai perkembangan Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai agihan bakul makanan setakat ini, Masidi berkata, sejumlah 66,164 bakul makanan telah diagihkan di seluruh Sabah dan segala proses agihan berjalan lancar.