Kes Bunuh; Polis Tawau Cari 4 Lelaki Bantu Siasatan, 5 Suspek Ditahan

2314
Herman Langguru, Harman, Ajai dan Fadilah Abdul Latif @ Boyv sedang diburu polis Tawau untuk membantu dalam siasatan kes bunuh. – Gambar ihsan IPD Tawau

TAWAU: Polis sedang memburu empat lagi lelaki selepas menahan lima suspek kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang pengawal keselamatan di luar pusat hiburan di Jalan Kuhara, di sini, pada 17 September lalu.

Empat lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai, Herman Langguru, 33, Fadilah Abdul Latif @ Boy, 34, Ajai, 30 dan Harman, 20-an.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata lima suspek lelaki tempatan yang berusia antara 28 hingga 51 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan.

“Pada Ahad lepas kira-kira pukul 2 pagi mangsa Norajlan Norsait, 32, keluar dari pusat hiburan bersama lima rakannya untuk pulang ke rumah sebelum tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki menyerang rakan mangsa.

“Mangsa cuba meleraikan pergaduhan namun salah seorang suspek menumbuk muka mangsa dan mangsa melarikan diri tetapi dikejar dua suspek yang kemudian memukul bahagian kepala mangsa lagi sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

ACP Fadil berkata ekoran itu mangsa di bawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut dan Selasa lepas pada pukul 3.12 pagi pihak hospital memaklumkan kepada polis bahawa mangsa pukul telah meninggal dunia di unit kecemasan hospital.

Susulan itu, menurutnya polis menahan lima lelaki tempatan berumur 28 hingga 51 tahun untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

ACP Fadil berkata empat suspek yang dicari itu diminta tampil dan orang ramai yang mempunyai maklumat lokasi suspek boleh menyalurkannya ke balai polis berdekatan.