Kes Baharu 1,383, Rakyat Mula Leka Patuhi SOP – Masidi

KOTA KINABALU: Peningkatan kes dalam kalangan kontak rapat petanda jelas bahawa rakyat di negeri ini mula leka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daripada 1,383 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, 54.2 peratus atau 749 kes dikesan dalam kalangan kontak rapat.

“Situasi ini menunjukkan ramai antara kita sudah mula leka dengan pematuhan SOP. Ini juga satu peringatan kepada kita untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti sosial bersama kawan-kawan agar kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Perlu diingat ada dalam kalangan pembawa virus Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes positif hari ini menunjukkan pertambahan 136 kes berbanding 1,247 kes positif yang dilaporkan semalam.

Masidi berkata, Kota Kinabalu kekal mencatatkan bilangan kes yang tinggi dengan 326 kes. Ini bermakna 24 peratus daripada kes hari ini adalah di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Tawau mencatatkan 168 kes, Sandakan 138 kes, Tuaran 92 kes, Penampang 80 kes dan Keningau 79 kes.

Daripada 1,383 kes hari ini, 322 kes dikesan melalui saringan bergejala, 111 kes daripada kluster sedia ada, 73 kes dikesan melalui saringan bersasar.

Hari ini, satuu kluster baharu dilaporkan iaitu kluster Kampung Timbua, Ranau yang mencatatkan 49 kes positif.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi-agensi berkaitan sedang berusaha untuk memberi vaksin kepada rakyat dalam kadar yang cepat.

Sehingga semalam, 1.22 juta rakyat Sabah menerima dos pertama dan ini bermakna 40.8 peratus penduduk dewasa sudah divaksin.

Bagi penerima yang sudah melengkapkan suntikan dua dos pula adalah seramai 485,880 orang atau 17.6 peratus.

“Usaha berterusan akan dilakukan oleh kerajaan untuk menambah kapasiti pemberian vaksin oleh JKNS disamping memastikan bekalan vaksin yang cukup sentiasa ada.

“Ketika virus sudah berada dalam komuniti, kita sedang berlumba mengejar masa untuk memberi vaksin kepada setiap individu yang layak divaksin dengan kadar segera.

“Kes-kes positif baharu akan terus berada dalam angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperolehi vaksin.

“Kes dijangka mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya.

Oleh itu, rakyat perlu terus memainkan peranan untuk mengamalkan disiplin dan penjagaan kesihatan diri yang tinggi dengan mematuhi semua SOP.