Kes Aktif Covid-19 Kota Kinabalu Hampiri 2,000 Kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dengan hanya tiga kluster dilaporkan, Kota Kinabalu muncul sebagai daerah yang mencatatkan kes aktif Covid-19 tertinggi, mengatasi daerah-daerah lain di Pantai Timur Sabah.

Sehingga semalam, kes aktif yang sedang dirawat di hospital dan wad tambahan di Kota Kinabalu mencecah 1,812 kes. Manakala, bilangan kumultif kes yang dilaporkan di daerah ini pula adalah sebanyak 2,214 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam Facebook PKN Sabah memaklumkan, tiga kluster yang dilaporkan di Kota Kinabalu adalah kluster Penjara Kepayan (581), kluster Sauh (14) dan kluster Atap (4). Untuk kes tanpa kluster pula adalah sebanyak 1,382 kes.

Beliau berkata, selain Kota Kinabalu, dua daerah lain turut mencatatkan kes aktif melebihi 1,000 kes iaitu Tawau dan Semporna.

Katanya, Tawau mencatatkan kes aktif kedua tertinggi di Sabah dengan 1,027 kes, dengan bilangan kumulatif kes berjumlah 1,965 kes.

Kemudian diikuti dengan Semporna yang mencatatkan 1,008 kes aktif dengan bilangan keseluruhan kes sebanyak 1,679 kes.

Turut mencatatkan kes aktif tertinggi adalah Sandakan dengan 829 kes, Lahad Datu (573) dan Tuaran (487).

Selain daerah-daerah yang disebutkan, tiga lagi daerah mencatatkan kes aktif melebihi 200 kes adalah Papar dengan 269 kes, Penampang (253) dan Putatan (225).

Untuk kes aktif mencecah 100 kes pula dicatatkan di Kudat dengan 106 kes, Kunak (106) dan Kota Belud (104).

Sementara, Keningau mencatatkan 62 kes aktif diikuti dengan Ranau (55), Kinabatangan (52), Beaufort (52), Tambunan (39), Kota Marudu (24), Pitas (17),Tenom (17), Sipitang (17), Pitas (17), Kuala Penyu (13).

Manakala, tiga daerah mencatatkan kes di bawah 10 kes iaitu Beluran (6), Telupid (3) dan Nabawan (1).

Dr Christina berkata, hanya Tongod satu-satunya daerah yang berada dalam zon hijau kerana tidak mencatatkan sebarang kes aktif.

Semalam, 578 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan dan ia menjadikan bilangan kumulatif kes di Sabah berjumlah 9,868 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,624 kes aktif dilaporkan dan bilangan kes pulih adalah sebanyak 4,168 kes.

Kes kematian yang dilaporkan di Sabah meningkat kepada 76 kes, dengan empat kes kematian baharu dilaporkan semalam.