Kertas Kerja Kabinet Disedia, Bantu Percepat Pelaksanaan Pan Borneo

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berharap penyediaan kertas kerja Kabinet mengenai pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo oleh Kerajaan Persekutuan dapat disediakan secepatnya bagi membolehkan pelaksanaan projek mega itu diteruskan.

Beliau berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai proses pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan beberapa perkara sudah diputuskan.

“Maka kita berharap ‘kabinet paper’ akan disediakan Kerajaan Pusat supaya proses pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo ini dapat dipercepatkan.

“Kerajaan Negeri bersedia membantu apa yang diperlukan bagi membolehkan proses pelebaran jalan raya ini dipercepatkan.

“Kita tahu kemudahan jalan raya ini begitu penting. Jadi saya tidak mahu banyak berlaku pembaziran ketika kita berdepan dengan kekangan kewangan.

“Atas sebab itu, saya memberi pandangan untuk memperluaskan jalan sedia ada. Itu adalah pilihan yang baik berbanding membuka laluan baharu. Pilihan terbaik adalah memperluaskan jalan sedia ada kerana ia tidak melibatkan pampasan yang banyak,” katanya ketika ditanya mengenai hasil perbincangan bersama Menteri Kerja Raya Baru pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Ahmad Abdul Rahman, di sini pada Sabtu.

Mohd Shafie berkata, perbincangan yang diadakan bersama menteri berkenaan turut melibatkan perkara berkaitan kemudahan jalan raya di peringkat Negeri Sabah.

Katanya, mereka juga membincangkan tentang pelaksanaan jalan di Pantai Timur Sabah seperti Jalan Tawau-Kalabakan-Pedalaman dan Tawau-Semporna yang banyak mengalami gangguan.