Kerosakan Jalanraya Di Pulau Bum Bum, Pemasangan Lampu Jalan Berkuasa Solar, Harus Diambil Perhatian

KOTA KINABALU: Masalah kerosakan jalanraya di Pulau Bum Bum, Semporna harus diberikan perhatian oleh kerajaan untuk diperbaiki.

Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan) turut mencadangkan agar lampu berkuasa solar digunakan bagi menerangi jalanraya di pulau berkenaan pada waktu malam.

“Saya minta juga syarikat konsensi penyelenggaraan jalan di Pulau Bum Bum iaitu Globinaco (mengambil perhatian dan tindakan) kerana jalanraya di pulau Bum Bum telah mengalami kerosakan.

“Berkenaan dengan lampu jalan tadi, sewaktu kami (Warisan) berada dalam kerajaan, saya telah meminta pengunaan lampu solar oleh kerana kita sedar kekangan peruntukan.

“Jadi saya minta agar lampu solar itu dipasang pada tiang elektrik sedia ada namun tidak dibenarkan Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB). Saya mohon jika dapat dipertimbangkan, kalau ada peruntukan bagi lampu solar untuk dipasang pada tiang elektrik SESB yang sedia ada,” kata Jaujan pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Menjawab soalan itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury meminta Jaujan menyalurkan maklumat jalanraya di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya di Sulabayan termasuk di Pulau Bum Bum kepada kementeriannya untuk tindakan selanjutnya bagi pemasangan lampu jalan berkuasa solar.

Terdahulu, Limus berkata 26 kampung di Pulau Bum Bum telah dipasang dengan lampu jalan kampung sejak 2021.