Kerosakan Infrastruktur Asas Di Pedalaman Akan Dibaiki Segera – Jahid

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memberi keutamaan bagi memperbaiki segera mana-mana kerosakan infrastruktur asas yang terjejas banjir di kawasan pedalaman.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, kementerian itu mengambil langkah serius untuk memperbaiki mana-mana kerosakan kemudahan infrastruktur yang berlaku.

“Kita telah menerima banyak laporan mengenai kerosakan akibat banjir dan seperti yang dikatakan oleh Ketua Menteri, kita akan memberi perhatian serius dengan keutamaan mana yang benar-benar perlu pembaikan segera, kerajaan akan usahakan,” katanya ketika mengulas mengenai kerosakan kemudahan infrastruktur akibat banjir yang berlaku di kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyampaian bantuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) Kepayan, hari ini.

Beliau berkata, sumbangan kepada petugas barisan hadapan itu sebagai menghargai usaha mereka membantu membendung penularan pandemik Covid-19 di Sabah.

Jahid berkata, mereka (frontliners) merupakan kumpulan yang berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi.

“Rakyat bergantung harap kepada mereka untuk membendung penularan Pandemik Covid-19 dan mereka telah menjalankan tugas dengan baik selama ini.

“Bagi pihak kerajaan, kita mengucapkan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat,” ujarnya.

Menurutnya, usaha syarikat-syarikat korporat dalam membantu petugas barisan hadapan dengan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk amat dihargai.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tamparuli ini berharap anggota frontliners yang terlibat terus terpelihara, tenang dan sentiasa dijauhi daripada gejala-gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka.

“Kepada para penyumbang, semoga ianya menjadi teladan kepada syarikat korporat yang lain untuk menyumbang dan membantu menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan,” tambahnya.

Antara sumbangan disampaikan adalah Creamos Bun sebanyak 10,000 oleh Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad dengan kerjasama KPLB dan mineral water, pelitup muka dan cecair pensanitasi oleh syarikat korporat lain.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan dan Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad, Dexter Lau.