Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang dalam usaha memperbaiki dua enjin sistem solar yang mengalami kerosakan sejak beberapa hari lalu di Pulau Banggi.
Sumber yang boleh dipercayai memaklumkan pasukan SESB yang ada di pulau itu dengan dibantu oleh tenaga pakar dari Kota Kinabalu sedang berusaha memperbaiki kerosakan yang ada secepat mungkin.
Ia dijangka boleh digunakan semula dalam sehari atau dua hari lagi jika segalanya berjalan lancar.
Menurut sumber, alatan ganti untuk enjin yang rosak itu juga sedang dihantar ke Pulau Banggi. Oleh itu, kedua-dua enjin solar yang ‘overhaul’ dan rosak itu mungkin boleh berfungsi semula dalam masa sehari atau dua hari lagi.
Buat masa ini penduduk di Pulau Banggi bergantung kepada satu sahaja enjin solar yang membekalkan tenaga di pulau itu.
“Namun disebabkan keadaan cuaca yang kurang baik dan penerimaan cahaya matahari yang kurang, penjanaan bekalan elektrik melalui enjin berkenaan mengalami sedikit masalah.
“Atas sebab itulah catuan bekalan berlaku dimana, bekalan tenaga hanya boleh dibekalkam selama dua hingga tiga jam sahaja di satu-satu kawasan secara bergilir-gilir,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini pada Selasa.
Katanya, SESB sedia maklum mengenai kerosakan yang berlaku kerana terdapat kakitangan SESB yang bertugas dan menetap di pulau berkenaan.
Pada Isnin, penduduk Pulau Banggi melahirkan keluhan mengenai masalah bekalan elektrik di Pulau Banggi ekoran kerosakan dua daripada tiga enjin solar SESB.
Keluhan berkenaan diluahkan kepada Ahli Deqan Undangan Negeri (Adun) Banggi Mohammad Mohamarin yang sempat melawat pulau itu baru-baru ini.
Mohammad difahamkan kerosakan dua enjin janakuasa itu berlaku sejak Sabtu. Ketiadaan bekalan menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas.
Oleh itu, mereka berharap kerja pembaikan dapat dilakukan secepatnya.
BERITA BERKAITAN: –