Kerjasama Strategik Mampu Bantu Industri Minyak & Gas Terus Maju

64

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mahu kerjasama strategik antara kerajaan serta penggiat industri minyak dan gas diperkukuhkan bagi membolehkan sektor itu terus berkembang.

Bagaimanapun, untuk memastikan kerjasama itu berkesan, cabaran yang dihadapi dalam sektor minyak dan gas ini perlu ditangani dengan sebaiknya.

“Bagi pihak Kerajaan Sabah, kita juga telah melakukan pindaan dalam Ordinan Perlombongan 1960 kepada Enakmen (Pindaan) Perlombongan 2018 bagi menguruskan hasil negeri dari sumber asli seperti minyak dan gas dengan lebih baik.

“Pindaan ini akan membolehkan Sabah mengutip cukai jualan daripada sumber asli yang diperolehi dari perairan kita serta hasil produk Petroleum. Ia sekaligus akan membolehkan kita meningkatkan pendapatan hasil minyak dan gas di Sabah,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan & Pameran Minyak dan Gas kali ketujuh, di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan juga sentiasa terbuka untuk berbincang dengan penggiat industri bagi memastikan industri ini terus berada pada tahap kejayaan yang lebih tinggi serta membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

Dari segi cabaran, antara isu yang memberi kesan terhadap pertumbuhan sektor ini adalah pembangunan modal insan berkemahiran.

Beliau berkata, Sabah masih kekurangan tenaga kerja berkemahiran untuk mentransformasikan peluang dan potensi yang ada di negeri ini secara menyeluruh. Namun, permintaan terhadap graduan berkemahiran amat tinggi.

“Oleh itu, saya menyarankan penggiat industri bekerjasama dengan kerajaan dalam membiayai latihan, penyelidikan, inovasi, latihan amali pelajar serta pengkomersilan output intelektual bagi membantu melahirkan golongan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, berdasaran Jurnal Minyak dan Gas (OGJ), Malaysia mempunyai rizab minyak berjumlah 3.6 bilion tong setakat Januari 2017, iaitu rizab keempat tertinggi di Asia Pasific.

“Jika dilihat Sabah antara penyumbang utama kepada minyak dan gas di Malaysia. Atas sebab itu, Kerajaan Persekutuan mahu produk minyak dan gas di Sabah dipelbagaikan bagi menarik lebih banyak syarikat minyak dan gas, pelabur serta pedagang.

“Untuk itu, Kerajaan Sabah juga sentiasa berusaha meningkatkan pembabitan dalam perkhidmatan lapangan minyak dan gas,” ujarnya.

Lokasi Sabah yang berada di Lautan China Selatan dan peranan utamanya dalam industri minyak dan gas domestik adalah faktor yang memastikan industri ini terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.