Kerjasama Sabah, Petronas Penting Untuk Jana Pekerjaan

692

TAWAU: Kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Sabah penting untuk dikekalkan bagi memastikan sektor minyak dan gas di negeri ini dapat terus ditingkatkan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, kerjasama yang baik diyakini membawa kesan positif termasuk mampu memberi peluang pekerjaan kepada belia Sabah.

“Sebab itu, saya ada bertemu dengan pihak Petronas supaya jalinan kerjasama sebaik mungkin bagi merealisasikan industri ini dapat terus dibangunkan dan boleh memberi peluang pekerjaan kepada 1,000 anak-anak Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Konvesyen Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Jabatan Ketua Menteri, di sini, Ahad.

Katanya kerjasama itu antara langkah kerajaan untuk membangunkan ekonomi Sabah dan membantu rakyat di akar umbi mendapatkan pekerjaan.

“Rakyat di akar umbi bukan ramai ada pekerjaan sebab itu ramai anak-anak kita berapa ribu keluar setiap tahun dari universiti tidak bekerja dan mencari kerja sehingga ke Kemboja,” katanya.

Dalam pada itu katanya kerajaan negeri dari awal memerintah bukan sahaja mahu mengubah landskap politik tetapi mengubah pentadbiran negeri serta merancang pembangunan termasuk membawa pelabur ke Sabah.

“Kita banyak potensi yang boleh dibangunkan termasuk industri kayu-kayan, pelancongan serta baja dan kita telah menarik seramai mungkin pelabur dari Eropah, China dan ada pelabur Jerman yang ingin melabur dalam bidang (pengeluaran) baja,” katanya lagi.

Berkaitan UPPM, Shafie mahu pemimpin dalam kalangan UPPM menjaga integriti dan tidak terlibat rasuah tetapi mengutamakan masalah dihadapi rakyat.

“Tanya apa masalah rakyat, apa rakyat mahu di kampung mereka, dan kita rancang sebaiknya untuk rakyat,” katanya yang mahu pembangunan negeri Sabah itu selari dengan pembangunan negeri lain di Malaysia.