Kerjasama Rakyat Penting Pastikan Keselamatan Di ESSZone – Hajiji

LAHAD DATU: Kerjasama rakyat penting dalam memastikan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) lebih teratur dan pada tahap terbaik, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Jelasnya, tanggungjawab mengawal keselamatan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan, sebaliknya keberkesanan kawalan keselamatan lebih terserlah, jika semua pihak khususnya masyarakat setempat memberi kerjasama.

“Inilah perkara (kerjasama rakyat) yang perlu diberi penekanan, daripada segi (membanteras) kegiatan jenayah, khususnya jenayah rentas sempadan dan juga mengawal kegiatan haram lain, termasuk (kemasukan) pendatang haram.

“Sejak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) ditubuhkan (pada 1 April 2013), keselamatan begitu baik, walaupun terdapat beberapa jenayah rentas sempadan, tetapi terkawal,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan ESSCom di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai keperluan untuk menambah baik pasukan keselamatan di ESSZone.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan sewajarnya.

“Kerajaan negeri juga akan membantu apa yang mampu dilakukan untuk memperketatkan lagi kawalan keselamatan,” katanya.

Pada lawatan itu, Hajiji diberikan taklimat tertutup oleh Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman.

Ketua Menteri Sabah itu juga turut melawat pos kawalan Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am di Tanjung Labian kira-kira 120 kilometer dari sini.