Kerjasama Penting Tangani Konflik Gajah Dan Manusia

TAWAU: Syarikat perladangan serta kerajaan negeri disaran bekerjasama bagi mewujudkan lebih banyak koridor bekalan makanan hijau, bagi gajah dan hidupan liar lain di Sabah.

Pengerusi Persatuan Bebika Pencinta Alam Tawau, J Hamzah Ahmad berkata cadangan itu antara langkah pemuliharaan atau konservasi gajah khususnya di Pantai Timur Sabah.

“Koridor makanan itu bagi gajah serta hidupan liar lain, ini sebagai sebahagian daripada usaha khusus bagi mengurangkan konflik manusia dan gajah.

“Adanya koridor itu yang ditanam dengan tumbuhan asli, kawanan gajah ini secara sendiri akan tahu di mana untuk mencari makanan, dan kekurangan sumber makanan antara faktor gajah itu memasuki sama ada kawasan kampung, sungai atau ladang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di Tawau, Sabah Softwood Berhad (SSB) terlebih awal membina koridor hidupan liar di atas tapak 1,000 hektar, yang terletak di antara Ulu Segama dengan Ulu Kalumpang, ianya menjadi laluan 50 hingga 60 ekor gajah mencari makanan dalam sehari.

Bagi Hamzah, usaha dilakukan SSB itu, perlu dicontohi dan diperluaskan ke kawasan perladangan lain, kerana hasilnya mampu membawa impak positif dalam menyelamatkan hidupan liar di negeri ini.

Sementara itu seorang penduduk di Kalabakan, Mohd Asran, 35, berkata masyarakat perlu peka dan pantas melaporkan kehadiran gajah kepada pihak berkuasa, agar haiwan mamalia itu dipindahkan ke kawasan yang jauh dari penempatan manusia.

“Jangan bertindak kejam, sebaliknya ambil langkah bijak, bagi mengelak tercetuk konflik gajah dan manusia. Kita boleh hubungan Jabatan Hidupan Liar (JHL), bagi bantuan memindahkan gajah yang memasuki kawasan ladang atau kampung,” katanya.

Dianggarkan terdapat 1,500 hingga 2,500 gajah saja lagi di hutan dan habitat yang semakin menyusut memberi tekanan lanjut pada gajah dan hidupan liar lain di hutan-hutan Pantai Timur Sabah.

Baru-baru ini, sekumpulan pemancing menemui seekor gajah Pygmy mati, di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini dan bedah siasat terhadap kematian gajah spesis paling kecil di dunia dan hanya boleh didapati di Borneo, khususnya Sabah itu, menemukan lebih 70 lubang pada badan, kaki dan kepala haiwan berkenaan, dipercayai kesan tembakan.

Bagaimanapun, tindakan pantas Polis Diraja Malaysia serta JHL melancarkan Ops Khazanah membawa kepada penahanan lima warga tempatan dan seorang pendatang tanpa izin bersama lima laras senjata api, 59 butir peluru hidup, 53 kelonsong peluru serta gading gajah.

Keenam-enam lelaki ditahan reman empat hari bermula 3 Okt, sebelum reman mereka disambung dua hari lagi hari ini.

(Visited 1 times, 1 visits today)