Kerjasama PBT Dan Komuniti Mampu Realisasi Perancangan Pembangunan Hijau – Jaujan

117

SEMPORNA; Pendekatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi Program PBT bersama Komuniti adalah satu inisiatif terbaik dalam memastikan perancangan pembangunan hijau di kampung atau daerah dapat direalisasikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata pendekatan itu mampu memberi manfaat kepada masyarakat yang bakal menikmati pembangunan berkenaan.

“Setiap pembangunan yang dirancang kerajaan perlu ada hubungan dua hala dengan masyarakat mengikut keutamaan dan hasil daripada apa yang diinginkan masyarakat.

“Kadang kita lupa apabila ingin melaksanakan sesuatu program atau mewujudkan dasar, berlaku pendekatan tidak seimbang dan tidak mencakupi keperluan apabila masyarakat tidak dilibatkan dalam merancang dan memberikan pandangan,” katanya pada Program PBT Bersama Komuniti di Kampung Balimbang, Pulau Bum Bum dekat sini hari ini.

Terdahulu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata pelaksanaan pembangunan fizikal di Sabah perlu memberi manfaat ekonomi kepada penduduk sekitar.

“Kalau nak bina jambatan Pulau Bum-Bum di sini, boleh sahaja, tetapi kita kena tahu apa manfaatnya kepada penduduk sekitar… jangan jambatan sahaja megah, tetapi orang kampung masih tiada pekerjaan,” katanya.

Mengenai program itu bertemakan “Komuniti Ku Sayang”, Jaujan berkata program itu akan diperluaskan ke semua daerah di Sabah.

Jelasnya, program itu dilihat mampu mengupayakan komuniti, memastikan kualiti hidup komuniti dipertingkatkan secara holistik dan mengeratkan hubungan antara komuniti dengan PBT.

Beliau berkata program itu turut menyasarkan penglibatan pihak swasta dan badan bukan kerajaan serta agensi dan jabatan kerajaan lain dalam usaha mendepani isu urbanisasi yang semakin mencabar.