Kerjasama Parti Kerajaan Sabah Perlu Diperkukuh Demi Pembangunan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan negeri Sabah dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, biarpun bukan mudah untuk menyelesaikan isu yang wujud antara parti-parti ini namun, objektif asal untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Atas sebab itu, kerajaan akan terus melaksana kerangka yang ada dalam memastikan hak-hak Sabah terus dituntut.

“Untuk itu, kita perlu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan pembangunan dan aspek keselamatan di Sabah dapat terus dilaksana secara mampan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ulang Tahun ke-25 Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), di sini pada malam Khamis.

Menurutnya dalam membela nasib rakyat Sabah, beliau akan terus memperjuangkan tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pelbagai isu telah dibincangkan termasuk urusan tanah, hasil 40 peratus dan 20 peratus royalti minyak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang diadakan bersama Perdana Menteri.

Oleh itu, beliau memberi ruang kepada Perdana Menteri mengumumkan perkara yang telah dipersetujui semasa sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Mengenai usaha meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah, Mohd Shafie berkata, perkara itu akan dibincangkan semula dengan Ketua Menteri Sarawak.

“Saya tidak berputus asa dan akan membincangkan perkara ini dengan Ketua Menteri Sarawak dalam lawatannya ke Sabah pada bulan depan. Usaha ini perlu diteruskan supaya hak-hak dan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak dapat dibincangkan dengan lebih teliti,” ujaranya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Presiden Upko merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden Upko Senator Datuk Donald Mojuntin, Presiden Kehormat Upko Tan Sri Bernard Dompok, Naib Presiden Upko merangkap
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick serta pemimpin-pemimpin tertinggi Upko dan wakil-wakil parti kerajaan yang lain.