Kerjasama Kerajaan Persekutuan-Negeri Penting Dalam Isu Kesihatan – Adham Baba

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Di sebalik pembatalan jemputan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah terhadap Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bagi merasmikan Sambutan Hari Guru, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil pendekatan berbeza.

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan dengan kerajaan negeri Sabah dalam isu-isu berkaitan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerjasama sebagai sebuah pasukan penting dalam usaha memerangani Covid-19 yang kini masih belum berakhir.

“Demi keselamatan negara, kita perlu ketepikan segala perbalahan atau motif-motif lain untuk menyelamatkan nyawa manusia.

“Atas sebab itu, kita bina hubungan baik kerana jaringan hubungan baik inilah yang menyebabkan kita berjaya menurunkan kadar Covid-19 sehingga hari ini,” katanya selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di sini hari ini.

Adham merupakan menteri persekutuan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berkunjung ke Sabah dan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah.

Menurutnya, sejak memimpin Kementerian Kesihatan pada 10 Mac lalu, beliau sentiasa berinteraksi dengan Pengarah Kesihatan dan Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat Sabah bagi memastikan apa juga maklumat dan ujian yang dilakukan dalam menangani Covid-19 dapat diselaraskan.

Beliau berkata, segala maklumat yang diperoleh akan dibentangkan dan beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan akan kordinasikan maklumat tersebut.

Tambahnya, segala taklimat dan perkara turut dimaklumkan kepada Ketua Menteri bagi mengekalkan kawasan hijau.

Dalam pada itu, KKM juga akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah dalam mengadakan Program Memperkasakan Komuniti dan Kempen Kesedaran bagi membendung penularan Covid-19.

Menjelang pembukaan sekolah pada 15 Julai ini, Adham menyarankan semua sekolah untuk mematuhi penjarakan sosial satu meter melalui kedudulan susunan kerusi dan meja, menggunakan pelitup muka bagi yang bergejala serta elakkan kawasan yang sesak.