‘Kerjasama Dengan MUDA?, Kita Kawan Semua Orang’ – Shafie Apdal

KOTA MARUDU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh soal kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Beliau berkata, sebagai parti dalam blok pembangkang, Warisan sentiasa berkawan dengan semua pihak sama ada dalam blok pembangkang mahupun kerajaan.

“Kita kawan dengan semua orang, saya tiada musuk dengan mana-mana pihak. Contohnya dengan DAP kita kawan dan UMNO pun kita kawan juga, semua kawan saya.

“Tiada makna kita seorang rakyat tapi tiada kawan. Namun dalam keadaan politik seperti saya nyatakan, kita adalah pembangkang,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat setempat kelmarin.

Menurutnya, walaupun Warisan bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) namun, mereka tetap ahli pembangkang yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat apabila ada keperluan mengundi di Parlimen.

Sekiranya ada isu atau akta yang memerlukan undi Warisan, mereka bersedia mengundi asalkan ia demi kepentingan negara dan rakyat.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pendirian Warisan cukup tegas dalam sesuatu perkara dan terkadang mereka tidak mengundi kerana sesetengah perkara perlu mempunyai nilai-nilai yang penting untuk diperjuangkan di peringkat negeri.

Pada Ahad, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hubungan MUDA dan Warisan akan terus kekal biarpun MUDA melebarkan sayap parti ke Sabah.

Syed Saddiq berkata, hubungan dengan Warisan sentiasa baik malah, selepas PRN Johor, beliau sentiasa berhubung dengan Mohd Shafie melalui panggilan telefon.