Kerjasama Dalam Pelancongan Sabah, Kaltim Akan Diperincikan – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BALIKPAPAN, INDONESIA: Kerajaan Sabah akan memperincikan kerjasama dengan Kalimantan Timur (Kaltim) dalam beberapa bidang termasuk pelancongan sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua wilayah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu diambil berikutan keputusan Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kaltim.

Beliau berkata, sektor pelancongan antara bidang yang boleh diterokai dan dikongsi bersama antara kedua-dua wilayah.

“Saya menekankan tentang pelancongan dimana, kehadiran pelancong yang datang boleh dikongsikan.

“Pelancong yang datang ke Sabah boleh meluangkan sebahagian masa percutian di Kaltim, begitu juga sebaliknya.

“Produk pelancongan yang ada di kedua-dua wilayah ini boleh dipakejkan bersama untuk ditawarkan kepada pelancong,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bersama Gabenor Kalimantan Timur Isran Noor, di sini pada Isnin.

Mohd Shafie berkata, Sabah mempunyai tapak selaman terbaik dunia manakala, Kaltim mempunyai bangunan bersejarah yang unik.

Katanya, jika kedua-dua produk ini disatukan dalam pakej pelancongan, ia dapat memaparkan pemuliharaan budaya yang tidak ditawarkan di mana-mana benua di dunia.

Dengan itu, beliau meminta kerjasama Kaltim agar berkerjasama dengan Sabah bagi menyediakan penerbangan langsung dari Kota Kinabalu-Balikpapan.

Katanya, penerbangan langsung itu akan membantu memudahkan pelancong berkunjung di kedua-dua wilayah ini.

Sementara itu, Gabenor Kaltim berkata, pihaknya akan berbincang mengenai keperluan menyediakan penerbangan langsung itu dengan Menteri Pengangkutan Kaltim.

Beliau percaya perkara itu mampu direalisasikan seiring dengan usaha menyediakan pakej pelancongan secara bersama dengan Sabah.

Isran berkata, kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah itu merupakan langkah positif yang akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua wilayah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie bersama rombongan turut meninjau Projek Lebuhraya Balikpapan-Samarinda.