Kerjasama BERSATU-UMNO Sabah Tidak Terjejas – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan kerjasama antara BERSATU dan UMNO Sabah tidak akan terjejas dengan perkembangan politik yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

Ketua Menteri Sabah ini berkata, UMNO diperingkat persekutuan tahu bahawa di peringkat negeri, usaha memperkukuh kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diteruskan.

“BERSATU akan terus bekerjasama dengan rakan dalam gabungan di Sabah bagi menghormati mandat rakyat yang membolehkan kita (GRS) berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekarang bukan masa untuk pertengkaran dalam politik, ini masanya untuk bekerja demi rakyat.

Hajiji berkata, ketika ini negara sedang berdepan dengan pandemik, ekonomi yang mencabar dan membuatkan ramai orang yang terjejas.

“Jadi, kita tidak boleh tergganggu sebaliknya, kita harus bekerjasama bagi menghadapi semua cabaran ini,” jelasnya.