Kerjasama Bersama Swasta Perlu Untuk Suburkan Ekonomi Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam melahirkan beberapa inisiatif yang boleh membantu menyuburkan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, dalam keadaan ekonomi dunia agak mencabar, kerajaan harus memainkan peranan bagi menyediakan pelbagai inisiatif yang boleh membantu penggiat industri terutama komuniti peniaga.

“Tahun ini, saya akan fokus kepada usaha membangunkan ekonomi negeri. Biarpun ada masalah dengan ekonomi di dunia dan rantau ini tapi, jangan bagitau saya tiada penyelesaian di peringkat negeri.

“Kita kena mencari jalan penyelesaian dan saya yakin kita boleh bertahan dalam keadaan ekonomi yang sedang merundum ini.

“Kita tidak boleh bergantung kepada sektor swasta semata-mata kerana mereka boleh memilih untuk menyimpan wang mereka di bank.

“Atas sebab itu, biarpun wang kerajaan tidak banyak sangat, kita akan berusaha menyuburkan ekonomi di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama dewan perniagaan, industri simen, persatuan pengendali kuari, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Menurutnya, pendekatan terbaik juga perlu dikenal pasti dalam berdepan dengan impak yang dihadapi sektor pelancongan pada ketika ini.

“Kita kena mencari cara untuk mengatasi masalah ini. Sebab itu, saya katakan, kita kena galakkan dan perbanyakkan penganjuran aktiviti dan kegiatan yang boleh menarik kemasukan pengunjung dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

“Ia termasuk penganjuran persidangan dan mesyuarat agar mereka boleh datang ke Sabah untuk menginap dan makan makanan di sini.

“Sekiranya perlu untuk mengadakan jualan murah bagi mempertingkatkan pembelian, itu juga boleh dilakukan.

“Kita boleh mengurangkan harga barangan supaya harganya lebih berpatutan agar pengguna tempatan mampu membelinya. Kita perlu memastikan ada putaran dalam ekonomi semasa,” ujarnya.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama bersama penggiat industri amat penting dalam melahirkan projek berskala kecil yang boleh membantu meningkatkan ekonomi di negeri ini.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata, itu adalah pertemuan kali pertama yang dibuat bersama dewan perniagaan, badan profesional, industri simen dan arkitek.

Pertemuan ini diadakan sebagai persediaan bagi melihat persediaan negeri ini dalam berdepan cabaran ekonomi global.

Ini termasuk melihat permasalahan dalam keperluan membina hartanah termasuk ketidakstabilan harga simen dan pasir.

Atas sebab itu, setiap kementerian terlibat akan memainkan peranana berhubung dengan badan-badang tertentu bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit.