Kerja naiktaraf loji air di Tenom siap Ogos tahun depan

Pairin (duduk tengah) bersama Radin (empat dari kiri), Bobbey (empat dari kanan) dan Ghullam (tiga dari kanan) mengabadikan gambar kenangan dengan ketua-ketua jabatan pada lawatan itu.
Pairin (duduk tengah) bersama Radin (empat dari kiri), Bobbey (empat dari kanan) dan Ghullam (tiga dari kanan) mengabadikan gambar kenangan dengan ketua-ketua jabatan pada lawatan itu.

OLEH AMAN KASSIM

TENOM: Kerja-kerja projek naiktaraf pembentungan loji air di daerah ini kini sedang dalam pembinaan di peringkat fasa pertama dan dijangka akan siap pada bulan Ogos 2017.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, lebih RM19 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membina projek tersebut.

Pairin yang juga Menteri Pembanguanan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerjanya di sini pada Selasa.

Katanya, projek itu akan memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar daerah berkenaan untuk mendapatkan bekalan air bersih yang mencukupi bagi jangka panjang.

“Walaupun terdapat dua pembentung loji air sedia ada namun ia tidak lagi mampu menampung bilangan penduduk yang semakin ramai dan kepesatan pembangunan industri di daerah ini,” jelasnya.

Mengenai status jambatan Tenom Lama di daerah ini Pairin berkata, ia masih boleh digunakan dalam tempoh 15 tahun lagi.

Walau bagaimanapun katanya, pihak kerajaan akan mengambil berat perkara itu disebabkan jambatan berkenaan sering di landa banjir dan hakisan tanah runtuh ditebing sungai yang mengancam keselamatan nyawa pengguna jalanraya.

Ahli Parlimen Keningau turut memberitahu kerosakan jalanraya di sepanjang Sepulut- Kalabakan turut diambil perhatian kerajaan untuk menangani perkara tersebut bersama agensi kerajaan berkaitan.

“Setiap permasalahan pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini akan diutamakan kerajaan kerana ia adalah untuk kemudahan dan keperluan serta kegunaan harian rakyat “tegasnya.

Turut sama pada lawatan ini ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Radin Malleh, Pembantu Menteri, Datuk Bobbey A. Suan dan Datuk Haji Ghullam Haidar Bahadar, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Datuk Michael Emban, Pengarah Jabatan Kerja Raya JKR Sabah Ir. Hj. Amrulah Kamal, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.