Kerja-Kerja Membersihkan, Baik Pulih Pekan Donggongon Dilakukan

244
Pritchard meninjau kerja-kerja pembersihan longkang di Pekan Donggongon.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pekan Donggongon akan kembali bersih selepas Majlis Daerah Penampang menggerakkan aset dan kakitangannya melakukan kerja-kerja pembersihan longkang serta mengutip sampah sarap yang ada.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga telah melantik kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan fizikal di pekan berkenaan terutama ruangan pejalan kaki yang sebelum ini rosak.

Minyak pejal setebal satu kaki yang menjadi punca longkang tersembut dikeluarkan.

Usaha yang dilakukan PBT itu adalah selepas Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking memberikan teguran dan melawat Pekan Donggongon baru-baru ini selepas banyak aduan diterima mengenai keadaan fizikalnya yang uzur.

PRITCHARD GUMBARIS

Setiausaha Politik beliau, Pritchard Gumbaris berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyambut baik usaha tersebut serta berharap kerja-kerja pembersihan dilakukan secara menyeluruh.

“Antara pembaikan yang telah dilakukan adalah baik pulih bata yang tidak rata akibat daripada akar kayu yang menjalar sehingga merosakkan permukaan yang jalan, beberapa pengguna telah terjatuh akibat jalan yang tidak rata.

“Baru-baru ini setiap parit telah dibersihkan secara menyeluruh, ada parit yang tersumbat kerana parit dipenuhi dengan minyak pejal setebal sekaki sehingga mengakibatkan pengaliran air parit yang tidak lancar mendatangkan bau busuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Darell yang turun melawat Pekan Donggongon melahirkan rasa kecewa dengan keadaan fizikal di situ yang uzur serta kebersihannya terabai.

Sebahagian sampah sarap yang dikeluarkan dari dalam parit yang tersumbat.

Berikutan itu, beliau memberikan tempoh enam bulan untuk Majlis Daerah Penampang menyelesaikan masalah yang timbul.

Sementara itu, Pritchard berkata, Ahli Parlimen Penampang itu berharap agar kerenah birokrasi yang wujud sebelum ini dapat diatasi.

Katanya, dengan adanya perkhidmatan yang cemerlang daripada PBT, rakyat bukan sahaja dapat khidmat terbaik, malah Pekan Donggongon kembali bersih.

Ruangan pejalan kaki di Pekan Donggongon kini kembali cantik selepas dibaik pulih.

“Darell juga menekankan pembersihan parit- parit di bawah seliaan PBT, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa dijaga agar bebas daripada kotoran atau tersumbat terutamanya pasa musim hujan ini.

“Sekarang ini adalah musim tengkujuh dan pihak berkenaan harus mempergiatkan usah-usaha pembersihan untuk mengurangkan impak banjir,” tambahnya.