Kereta Jatuh Gaung, 7 Cedera

LAHAD DATU : Tujuh individu termasuk empat kanak-kanak terselamat selepas kereta dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter di Jalan Silam, dekat Menara Kayangan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.18 pagi.

Katanya sepasukan 6 pegawai dan anggota dari BBP Lahad Datu dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 16 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Produa Aruz yang terbabas sendiri dan jatuh kedalam gaung.Terdapat 7 orang mangsa dilaporkan terlibat.

“Semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di tempat kejadian.

“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setelah memastikan keadaan selamat di lokasi kemalangan, operasi bomba ditamatkan pada jam 2.01 pagi.