Kereta Api Rempuh Dua Kenderaan, Penumpang Selamat

KOTA KINABALU: Dua pemandu kenderaan serta puluhan penumpang yang menaiki kereta api dari arah Putatan menuju ke Stesen Tanjung Aru berdepan detik cemas apabila ketiga-tiga kenderaan bertembung di Jalan Lintas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua kenderaan dari arah Jalan Lintas menuju ke KKIA dirempuh oleh kereta api berkenaan susulan palang keselamatan tidak berfungsi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kemalangan itu membabitkan kereta api, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah lori.

Insiden itu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca atau kecuaian hingga menyebabkan berlaku pelanggaran ketiga-tiga kenderaan.

“Setakat ini tiada kecederaan atau kematian dilaporkan. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berpunca daripada kegagalan petugas lintasan yang tidak berada di pondok sebelum ketibaan kereta api di laluan tersebut.

“Ketiadaan penjaga lintasan di pondok mengakibatkan palang keselamatan dan siren gagal diaktifkan hingga menyebabkan kereta api merempuh sebuah lori dan sebuah hilux milik Jabatan Veteriner Sabah.

“Makluman awal mendapati kerosakan pada lori sangat minimum manakala, hilux itu mengalami kerosakan yang agak teruk di bahagian badan kenderaan,” katanya.

Kereta api tersebut mengalami sedikit kerosakan pada bahagian cover-engine sementara, palang keselamatan pula tidak mengalami kerosakan akibat pelanggaran yang berlaku.

Bung Moktar memberi jaminan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) akan memastikan perkara sama tidak berulang.

“Kita akan memastikan setiap maklumat seperti line-clear order yang disampaikan tepat dan jelas kepada penjaga lintasan. Setiap penjaga juga perlu berad di pondok lintasan semasa bertugas,” jelasnya.