Kerang-kerangan di perairan Labuan selamat dimakan

LABUAN: Kerang-kerangan dari perairan Labuan yang dijual di pasar basah tempatan di sini, adalah selamat dimakan, kata Pengarah Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili.

Menurut Faizal, sampel air dan kerang-kerangan yang diambil dari sekitar perairan itu telah dihantar dan diuji di Makmal Biosekuriti Perikanan di Likas, Sabah dan disahkan negatif daripada sebarang toksin ‘paralytic shellfish poisoning (PSP).

Faizal Ibrahim Suhaili

Semalam (3 Ogos), Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan amaran mengenai larangan menjual dan memakan kerang-kerangan laut berikutan penemuan kerang laut yang diambil dari perairan Kampung Binsulok, Membakut, dikesan mempunyai paras toksin yang tinggi PSP.

Antara kerang-kerangan tersebut ialah tiram, dalus, kupang, tontol dan lain-lain.
Justeru, orang ramai dilarang menjual dan memakan kerang-kerangan berkenaan sehingga air laut besih daripada sebarang sel Pyrodinium bahamense var compressuem.

Bagaimanapun ikan, sotong, udang dan ketam adalah selamat dimakan dengan membuang insang, perut dan dicuci bersih.

Faizal berkata sampel air di sekitar perairan Ladang Shell Kinabenua (Ladang Tiram Kinabenua) juga diambil dan dihantar ke makmal untuk diuji dan hasilnya didapati negatif.
“Jabatan Perikanan Labuan sentiasa mengambil sampel air termasuk di sekitar perairan

Pulau Papan dan Pulau Burung sejak Februari lepas. Sampel hidupan marin dari Kampung Kiamsam dan Kampung Bebuloh yang diuji sebelum ini, juga negatif,” katanya.

Beliau berkata pegawai dari jabatannya akan terus memantau keselamatan hidupan marin di perairan Labuan yang terletak berdekatan perairan Binsulok.