Kerana Tertekan, Robert Tawik Mengalah Dan Berpaling Kepada Jeffrey

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Robert Tawik yang mula rasa tekanan, terpaksa mengalah dan berpaling kepada Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Henley Rampas ketika membalas  kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu berkata, Robert yang merujuk kepada kenyataan Don Quixote menunjukkan kecenderungan parti Star memusing (berbelit-belit) untuk tidak terjebak dalam keadaan yang terdesak.

“Isu hari ini ialah, kita lihat sudah menjadi tabiat Jeffrey untuk melupakan kedudukan politiknya pada masa lalu. Disebabkan itu orang memanggilnya katak atau menderita sindrom Dr Jekyll dan Mr Hyde.

“Pada Oktober 2018, Jeffrey ketika itu memainkan peranan sebagai Dr Jekyll yang menyatakan IMM13 sebagai tidak relevan. Sebulan sebelumnya iaitu pada Julai pulak, beliau (Jeffrey) menyatakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bahawa IMM13  disalahgunakan untuk mengeluarkan kad pengenalan dan Mykad kepada orang asing.

“Tetapi sekarang selepas menyatakan sokongan kepada Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kerajaan Persekutuan dipimpin oleh  PN, dia (Jeffrey) menjadi Mr Hyde yang mendakwa bahawa IMM13 adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah,” katanya dalam kenyataaannya di sini hari ini.

Sindrom Jekyll dan Hyde mewakili seseorang yang mempunyai dua personaliti berdasarkan keadaan. Ini adalah novel Inggeris yang terkenal yang ditulis Robert Louis Stevenson pada 1886 dan telah dimasukkan dalam sistem pendidikan negara untuk pelajar tingkatan tiga.

Mengulas lanjut, Jo-Anna berkata pada 2019 ketika Muhyiddin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri mengumumkan PSS, Jeffrey sebagai Dr Jekyll dengan keras membantahnya malah menganjurkan tunjuk perasaan kemeja hitam pada masa itu.

“Ketika Musa Aman (Tan Sri) menjadi Ketua Menteri, dia (Jeffrey) juga mengkritik pentadbirannya…masa itu Jeffrey juga menjadi Dr Jekyll.

“Pada Mei 2018 pulak, Jeffrey menjadi Mr Hyde dan menyokong Musa sebagai ketua menteri dengan balasannya dia menjadi Timbalan Ketua Menteri,” katanya.

Jo-Anna yang juga Setiausaha Politik kepada ketua menteri, menambah mungkin Robert bersetuju bahawa presidennya menderita masalah konflik berganda (dual personality complexes).

“Balasan daripada Robert tidak lebih daripada memutar belitkan sahaja. Dia tidak menafikan setiap apa yang saya katakan,” katanya sambil menambah bahawa ia kelihatan seperti Robert secara tidak langsung mengaku presidennya menderita sindrom Dr Jekyll dan Mr Hyde.