Kerana Salah Faham, Guru Tabika Dibelasah Enam Sekeluarga

Gambar mata cedera yang dimuat naik di facebook dikatakan milik mangsa.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Ditendang, dipijak sehingga cedera, malah barangan peribadi mangsa turut dirampas.

Itulah nasib malang yang dialami seorang guru di Tabika Kemas Kampung Sungai Buaya apabila dibelasah enam sekeluarga hanya disebabkan berlaku salah faham.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi, 21 Oktober lalu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala dan mata selepas mendakwa dipukul menggunakan objek keras seperti kayu, besi serta kerusi oleh suspek berusia antara 18 hingga 62 tahun.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang hendak memulakan sesi pembelajaran terkejut melihat tindakan salah seorang suspek wanita, juga pembantu guru di sekolan itu, membawa semua murid keluar dari kelas dan mengunci pintu.

Hantaran dimuat naik di facebook yang tular dan mendapat reaksi netizen.

Lima lagi suspek iaitu suami pembantu guru itu, tiga anaknya dan seorang lelaki yang tidak dikenali mangsa datang dari arah pintu belakang kelas lalu mula menyerang mangsa.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa sebelum ini sehingga menimbulkan perselisihan faham sehingga tercetusnya serangan berkenaan.

Selain dipukul dengan objek tumpul, mangsa juga mengadu dipijak dan ditendang selain beberapa barang peribadi miliknya seperti gelang tangan, telefon bimbit serta duit dirampas.

Lebih teruk lagi, mangsa mendakwa turut dicabul oleh dua anak lelaki pembantu guru berkenaan selain mengugut akan memukul suami mangsa selepas itu.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan pada hidung, mata dan mulut selain lebam pada anggota badan menyebabkan dia tidak berdaya dan hampir pengsan.

Mohd Azis Jamman turut memberikan reaksi dan mahu menyiasat perkara tersebut.

Insiden yang menimpa mangsa turut dimuat naik di media sosial dan tular serta mendapat reaksi netizen termasuk
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Mohd Aziz menerusi akaun ‘Mohd Azis Bin Hj Jamman’ meninggalkan komen dalam hantaran Facebook semalam, meminta mangsa membuat laporan polis.

“Sila buat laporan polis dan saya akan pastikan siasatan ke atas kes ini perlu dilakukan,” katanya menerusi ruangan komen berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Sabarudin Rahmat mengesahkan kes tersebut.

“Semua suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati ke semua suspek mempunyai talian persaudaraan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini masih merakamkan keterangan beberapa orang saksi selain menunggu laporan perubatan dari hospital sebelum menyerahkan kes kepada timbalan pendakwaraya bagi mendapatkan arahan pertuduhan.

“Bagaimanapun, saya meminta netizen agar tidak meninggalkan sebarang komen di media sosial yang boleh mengganggu siasatan.

“Saya juga meminta saksi yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.