Kerana Politik, Rakyat Sandakan Jadi Mangsa Perikatan Nasional

LIM GUAN ENG: Kerana politik, rakyat Sandakan jadi mangsa Perikatan Nasional.

Oleh AARON GODWIN
SANDAKAN: Pembatalan banyak Projek Khas untuk rakyat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan kepentingan politik lebih utama berbanding rakyat.

Tindakan pembatalan projek yang dirancang di Sandakan itu merupakan satu tindakan politik balas dendam.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guang Eng berkata, pembatalan itu juga seolah-olah tidak menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam menjadikan Sabah sebagai rakan kongsi yang setara.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bertindak lebih awal untuk menyekat pembiayaan kerajaan persekutuan ke Sabah. Dana diberikan kurang daripada kerajaan sebelumnya.

Antara projek yang dibatalkan adalah projek menaik taraf 24 jambatan di Kampung Sim-Sim bernilai RM4.2 juta.

“Saya telah dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong bahawa projek khas yang diluluskan untuk Sandakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah dibatalkan atau ditangguhkan oleh PN.

“Lima projek untuk Sandakan bernilai RM10.6 juta telah dibatalkan pada 8 Julai.

“Antaranya adalah projek menaik taraf 24 jambatan di Kampung Sim-Sim bernilai RM4.2 juta; pemasangan sistem kumbahan di 400 rumah di Kampung Cina Sim-Sim bernilai RM4 juta; serta projek menaik taraf dewan masyarakat di Tanjong Papat bernilai RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dibatalkan adalah projek jalan raya di persimpangan Jalan St Monica dan memperbaiki rumah orang cacat penglihatan masing-masing bernilai RM1 juta.

Sementara itu, projek naik taraf bernilai RM80 juta untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan yang telah dimulakan kini ditangguhkan, sehingga menimbulkan ketidakpastian apakah ia akan diteruskan.

Tambahnya, pembatalan projek khas untuk rakyat Sandakan ini disifatkan sebagai tindakan balas dendam atas keengganan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Warisan Plus untuk menjadi rakan sekutu PN.

Namun, tindakan kerajaan PN itu secara tidak langsung turut menghukum rakyat.

Kerajaan PN juga tidak menghormati semangat MA63 dan cadangan Suruhanjaya Cobbold agar Sabah dilayan sebagai rakan kongsi setara.

Semasa di Kudat, Muhyiddin menyatakan kerajaan PN hanya dapat memberi bantuan kepada Sabah sejauh mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Maka, Sabah akan mendapat kurang daripada sebelumnya, kerana kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan Plus tidak sehaluan dengan PN.

Guan Eng berkata, bagaimana Sabah boleh dianggap sebagai rakan kongsi setara jika Perdana Menteri boleh mengugut rakyat Sabah untuk menyekat dana pembangunan yang dijanjikan?

BERITA BERKAITAN:

PN Batalkan Peruntukan Kg Sim Sim RM4.2 Juta Yang Diluluskan PH