Kerana Perhimpunan PSS, Peniaga Hilang Pendapatan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
MEMBAKUT:  Sirat Pandak, 60-an, telah berada di pasar tamu Membakut seawal pukul 6 pagi untuk menjual ikan dan hasil laut yang merupakan antara punca rezekinya sejak bertahun-tahun lamanya bagi menyara keluarga.

Bagaimanapun, ketika warga emas itu mengharapkan hasil lautnya terjual, kehadiran kelompok peserta dalam perhimpunan membantah Pas Sementara Sabah (PSS) menyebabkan pengunjung tidak datang ke tamu berkenaan kerana takut dengan keselamatan masing-masing.

SIRAT PANDAK

Keadaan itu menyebabkan bukan sahaja Sirat gagal menjual ikannya, malah kebanyakkan hasil laut itu rosak kerana lori ais yang sepatutnya datang menghantar ais tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada perhimpunan haram itu.

“Tapi malangnya kami sebagai peniaga ikan terjejas pertama satu daripadanya lori ais yang menghantar ais kepada kami tidak dapat datang kerana tersekat oleh pihak yang menjaga keselamatan, kedua orang kampung telah diuar-uarkan bahawa ada apa-apa akan berlaku di kawasan Membakut, orang kampung tidak dapat hadirlah hari ini.

“Jualan tadi terjejas selalunya kami bawa ikan sampai 200 kilogram hari ini tidak sampai 100 kilogram pun laku sebab kurang orang yang hadir, hari ini pelanggan kurang datang disebabkan pertama mereka datang terlalu jauh kenderaan diletakkan terlalu jauh pasal di kawasan ini dijaga pihak keselamatan supaya kenderaan tidak masuk kawasan tamu,” katanya ketika ditemui Borneo Today hari ini.

SUKIRAH SUKARMO

Seorang penjual ikan, Sukirah Sukarmo turut meluahkan kekesalan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu di kawasan pasar tamu lama yang seolah-olah bertujuan menghalang kelancaran perniagaan di situ.

“Ya, memang terjejaslah kerana kehadiran perhimpunan PSS itu, biasa ramailah kalau setakat 300 atau 400 kilogram boleh habis tetapi hari ini lain. Baru pertama kali berlaku terjadi macam itu menjejaskanlah perniagaan kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bumiputera Membakut, Mohd. Faizal Salamat menyatakan kekesalan dengan penganjuran perhimpunan itu yang tidak sensitif dengan nasib golongan peniaga di pasar tamu itu yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan untuk menampung kehidupan.

MOHD FAIZAL

Katanya, operasi perniagaan di situ tidak pernah terganggu selama ini, justeru itu adalah kali pertama pasar tamu pada setiap hari Rabu di situ terjejas disebabkan kehadiran peserta perhimpunan berkenaan.

Pada hari ini perniagaan semua peniaga yang menjaja di kedai lama Membakut pada hari Rabu rasa terkilan dengan acara yang diadakan oleh anjuran tidak tahu dari mana iaitu membantah PSS diadakan berhampiran dengan tapak tamu Membakut, saya selaku pengerusi persatuan malhirkan rasa dukacita dan amat kesal dengan tindakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Sedangkan para peniaga menderita kerana tidak pengunjung dan pembeli yang datang ke tempat tamu, ada sesetengahnya merasa takut untuk datang kerana dikhabarkan ada pemberontakan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sebagainya, digembar-gemburkan seperti yang mereka beritahu ada PATI datang memberontak membuat kekacauan dan semua pengunjung berasa takut.

“Tamu bermula pukul 6 pagi sehingga 1 petang, mereka sudah berkumpul seawal pukul 8.30 pagi dan kehadiran polis pengaman semua orang takut tidak mahu datang ke tapak tamu, takut sesuatu perkara yang tidak diingini akan berlaku di sana,” katanya.