Kerana Mabuk ‘Tumpung’ Lelaki Maut Ditembak Bakakuk

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TONGOD: Sambutan hari jadi sebuah keluarga di Kampung Linayukan, Tongod yang ‘dimeriahkan’ dengan aktiviti minum arak atau ‘tumpung’ bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut ditembak menggunakan senapang patah atau ‘bakakuk’.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi, mangsa, Minus Malit, 40, maut selepas beberapa butir peluru menembusi dada mangsa sehingga ke belakang.

Difahamkan, mangsa yang dalam keadaan mabuk ditembak oleh suspek berumur 40 tahun yang juga di bawah pengaruh alkohol.

Terdahulu, mangsa dikatakan menyambut hari jadi salah seorang keluarganya di rumah mereka di kampung itu bermula pukul 2 petang yang turut menghidangkan arak sebelum suspek datang pada pukul 6 petang dan minum bersamanya.

Namun difahamkan, berlaku pertikaman lidah antara mangsa dengan suspek yang tidak diketahui puncanya menyebabkan suspek pulang ke rumahnya pada pukul 8.30 malam.

“Seterusnya pada pukul 9 malam suspek telah datang semula ke rumah mangsa dengan membawa selaras senapang bakakuk lalu melepaskan sedas tembakan ke udara dan mencabar mangsa untuk keluar dari rumah bersemuka dengannya.

“Mendengar cabaran itu, mangsa telah mencapai sebatang tukul yang berada berhampiran dengannya dan terus bergerak menuju ke arah suspek,” kata sumber kepada Borneo Today.

Menurut sumber itu, mangsa telah ditembak ketika sedang berjalan menuju ke arah suspek lalu maut serta-merta.

Bapa mangsa kemudiannya dikatakan berlari ke arah suspek sebelum lelaki berkenaan mencampakkan senjata digunakan lalu melarikan diri.

Sementara itu, menurut sumber itu, polis telah merakam percakapan saksi dan merampas senjata digunakan manakala suspek masih diburu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.