Kerana Cemburukan Janda Bayi Dibunuh

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Hanya disebabkan cemburu, seorang wanita tergamak memukul seorang bayi lelaki yang merupakan anak rakan serumahnya sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, suspek warga asing berusia 19 tahun itu dipercayai cemburu kerana mengesyaki teman lelakinya menyukai ibu bayi tersebut yang merupakan seorang janda menyebabkan dia melepaskan perasaan marah terhadap mangsa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, disebabkan terbawa-bawa oleh perasaan itu, suspek telah membelasah bayi berkenaan ketika ibunya tiada di rumah kerana keluar untuk berjumpa rakan.

“Siasatan mendapati suspek telah menampar bayi berkenaan, membalingnya di atas katil sebelum ditarik sehingga kepala bayi itu terhantuk di tirai katil dan selepas itu bayi berkenaan dibungkus dengan selimut selama lebih lima minit.

“Bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat bayi itu mendapati lebam di bahagian pipi dan beberapa kecederaan di badannya yang menjadi punca kematian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, ibu mangsa yang balik ke rumah selepas meminjam wang daripada seorang rakannya untuk membeli susu bayi itu mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan pucat lalu segera menghantar mangsa ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

Berikutan itu Omar berkata, polis yang menerima laporan daripada wanita berusia 23 tahun itu segera melakukan serbuan dan menahan empat wanita di Kampung Egeng-Egeng kerana disyaki terlibat menyebabkan kematian mangsa.

Katanya, siasatan mendapati seorang lagi suspek berusia 18 tahun turut memijak belakang mangsa manakala dua lagi suspek berumur 16 dan 18 tahun juga terlibat.

“Siasatan mendapati ibu bayi itu telah bercerai sejak lebih setahun lalu dan kini tinggal menumpang di rumah suspek utama yang cemburu dengan janda tersebut.

“Semua suspek direman sehingga 27 September ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Tambah beliau semua suspek dan mangsa adalah warga asing tanpa dokumen.

BERITA BERKAITAN: –

4 Remaja Ditahan Dipercayai Pukul Bayi Hingga Maut