Kerajaan Cadang Bina Pusat Latihan RELA Di Pantai Timur Sabah

358
Kehadiran Jaujan disambut mesra oleh pegawai dan anggota RELA

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Kerajaan Sabah akan mengenalpasti tapak sesuai bagi mendirikan sebuah lagi Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Pantai Timur Sabah untuk memastikan perkhidmatan RELA lebih efisien.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan mengenalpasti sebidang tanah yang sesuai di negeri ini, mungkin di Pantai Timur Sabah bagi memudahkan anggota RELA di Pantai Timur agar tidak perlu lagi berjalan jauh sehingga ke Tuaran untuk menjalani latihan.

Beliau yakin dibawah kepimpinan kerajaan baharu, perancangan itu tidak mustahil untuk direalisasikan.

”Dengan keanggotaan RELA yang hampir 295,000 di Sabah, adalah tidak efisien untuk mempunyai hanya satu pusat latihan RELA di negeri ini (Tuaran),” katanya sempena Hari Ulang Tahun RELA ke-47 peringkat Negeri Sabah, di Dewan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, di sini pada Sabtu.

Jaujan semasa pemeriksaan kawalan kehormat pasukan RELA, di sini pada Sabtu

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Mohd Shafie berkata, kini RELA memainkan peranan penting dalam barisan pertahanan peringkat nasional dan negeri.

”RELA adalah benteng ketiga pertahanan negara. Khidmat bakti anggota RELAdalam menjaga keselamatan setempat melalui rondaan keselamatan komuniti secara sukarela patut dicontohi segenap lapisan masyarakat.

”Pasukan keselamatan lain seperti Polis perlu berganding bahu bersama anggota RELA dengan menjadikan mereka sumber maklumat keselamatan.

“Dengan bantuan maklumat daripada RELA diharapkan isu-isu berkaitan jenayah dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dapat dikurangkan,” jelasnya.

Jaujan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat sempena Ulang Tahun ke-47 RELA Sabah

Beliau juga menyarankan agar inisiatif ‘community policing’ yang dilaksana di Teluk Villa Putatan dapat diperluaskan seluruh negeri. Jika ianya dapat dijayakan, Sabah boleh menjadi contoh untuk pelaksanaannya di seluruh negara.

Menurutnya, Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha dilakukan RELA dalam melakukan rondaan komuniti di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). Usaha ini akan menjamin keselamatan penduduk setempat.

”Bagaimanapun anggota yang bertugas di sana (Esszone) perlu lebih berusaha untuk bersama-sama pasukan keselamatan bagi mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan.

Sementara itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika ditemui berkata, lokasi pusat latihan RELA baharu itu terserah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Namun, cadangan Ketua Menteri untuk mewujudkan pusat RELA yang baharu itu di Pantai Timur Sabah adalah wajar kerana Pantai Barat sudah mempunyai kemudahan berkenaan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, bila-bila sahaja boleh meluluskan permintaan tanah ini tetapi yang penting kawasan yang dipilih itu sesuai dan strategik.

“Kita serahkan kepada pihak pentadbiran RELA untuk memilih khususnya KDN di mana kawasan yang mereka rasakan sesuai untuk dipilih,” ujarnya.