Kerajaan Warisan Terus Bantu Penduduk Luar Bandar Terjejas Sepanjang PKP

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) meneruskan usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

Usaha sebegitu diambil apabila menyedari ramai penduduk luar bandar dan pedalaman yang kehilangan punca pendapatan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, disebabkan perlu patuh kepada arahan PKP, ramai petani yang tidak boleh mengusahakan kebun masing-masing.

“Apatah lagi apabila tempoh PKP ini dilanjutkan. Keadaan ini akan menyebabkan penduduk luar bandar tidak boleh keluar rumah.

“Atas sebab itu, kita menyalurkan bantuan daripada kerajaan kepada penduduk luar bandar dan bantuan ini akan diperbanyakkan lagi berikutan lanjutan tempoh PKP,” katanya semasa Program Penyerahan Bantuan bagi kawasan Bingkor dan Liawan, di sini semalam.

Peter, yang juga Naib Presiden Warisan berkata, lanjutan tempoh PKP ini amat membebankan penduduk luar bandar terutama mereka yang bekerja sendiri sebagai petani dan sebagainya.

“Situasi ini amat membebankan mereka tapi saya percaya penduduk Sabah faham bahawa langkah diambil kerajaan ini sesuatu yang baik untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Jika dilihat di negara Itali dan Eropah, keadaan mereka amat teruk dan kritikal maka, kita tidak mahu negara dan negeri ini berada dalam keadaan sebegitu.

“Saya percaya keputusan kerajaan ini sesuatu yang baik. Saya minta penduduk Sabah supaya menerima arahan ini secara baik dan berikan kerjasama sebaiknya,” ujarrnya.

Beliau berkata, diperingkat negeri, kerajaan akan berusaha bertungkus-lumus bagi membantu golongan sasar yang terjejas teruk sepanjang PKP ini berkuatkasa sehingga 14 April.

Tambahnya, beliau telah meminta pegawai daerah yang mengetuai Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah supaya mendapatkan sebarang bantuan terutama bekalan makanan untuk golongan yang memerlukan.