Kerajaan ‘Warisan-Led’ Komited Kurangkan Kadar Pengangguran Di Sabah

1306
Shafie Apdal, diiringi oleh Dato Azis Jamman dan ahli ahli Jawatan Penganjur, tiba ke dewan Kompleks Sukan Likas.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus berusaha memastikan keadaan pengangguran dalam kalangan belia di negeri ini dapat dikurangkan.

Selaras dengan manifesto yang dibuat semasa pilihan raya umum lalu, kepimpinan Warisan yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan sebanyak mana peluang pekerjaan untuk anak-anak muda di negeri ini.

Dengan itu, Shafie sedang mengambil langkah setapak ke hadapan untuk membawa masuk pelabur dalam industry kayu kayan untuk membuka kilang perabot di Sabah.

“Saya akan bertemu dengan penggiat industri kayu kayan di Kuala Lumpur untuk menggalakkan mereka membuka cawangan di Sabah. Mereka ini sudah mempunyai rangkaian yang lengkap serta pasaran tersendiri.

“Jika kita hendak memulakan perniagaan kilang perabot baharu mungkin kita tidak tahu pasarannya.

“Kita akan menentukan kualiti perabot yang ingin dibangunkan dan kita akan menyediakan templat supaya memudahkan pelabur untuk menjalankan perniagaan di sini. Kita akan menggalakkan mereka masuk ke Sabah.

“Dari segi tapak, terdapat beberapa tempat dikenalpasti di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang boleh dibangunkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Sabah Job Entrepreneur Fair 2018, di Kompleks Sukan Likas, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, untuk membolehkan Sabah mampu menyediakan kayu-kayu yang diperlukan seperti seraya, meranti mahupun belian.

Katanya, negeri ini juga mempunyai kayu berkualiti tinggi yang sedia ada dan kayu jenis sebegitu akan terus ditanam bagi persediaan jangka panjang.

Dalam program kerjaya anjuran bersama Sabah Job Centre dengan kerjasama Wira Warisan itu, sebanyak 565 belia berjaya memperolehi pekerjaan daripada 2, 117 yang mendaftar.

“Usaha ini cukup baik dalam menggalakkan anak-anak muda ini bekerja dalam pelbagai bidang. Disamping itu, saya juga menyarankan anak-anak muda ini supaya menceburi bidang perniagaan agar mereka dapat membantu kita menawarkan peluang pekerjaan.

“Di pihak kerajaan, kita turut menyediakan dana kewangan seperti pinjaman dan geran untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mahupun untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan.

“Dana kewangan sebegini akan diberikan kepada usahawan tidak kira sama ada di bandar mahupun luar bandar supaya mereka dapat menawarkan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Menurutnya dalam belanjawan juga ditekankan setiap peruntukkan yang diberi dalam pelaksanaan sesuatu projek perlu menyediakan peluang pekerjaan yang seimbang dengan jumlah pelaburan yang dilakukan.

“Kita tidak mahu belanjakan sejumlah RM100juta tetapi tiada peluang pekerjaan yang disediakan untuk anak-anak kita,” jelasnya.