Kerajaan Warisan Dipuji Kerana Tunaikan Janji Manifesto Pilihan Raya

16738

LABUAN: Seorang penyelidik politik universiti tempatan telah memuji kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah kerana menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya, termasuk tidak melantik ahli politik ke jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan atau badan berkanun.

Dr Romzi Ationg, yang menjalankan penyelidikan mengenai politik kontemporari Malaysia dan global, berkata sehingga hari ini, kerajaan negeri pimpinan warisan terus memenuhi janjinya.

Pelantikan sesetengah daripada mereka yang tidak mempunyai hubungan signifikan dengan parti yang memerintah ke jawatan-jawatan dalam GLC dan majlis tempatan di Sabah, adalah bukti jelas, kata beliau kepada Bernama hari ini (Rabu).

DR ROMZI ATIONG

Dr Romzi berkata sebarang petisyen atau pengutan pendapat yang meminta rakyat menyokong pelantikan wakil rakyat Warisan sebagai pengerusi GLC atau badan berkanun hanya akan mendedahkan parti kepada kritikan kerana melanggar manifesto pilihan rayanya sendiri.

Presiden Warisan Datuk Seri Shafei Apdal, selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 pada Mei lepas, dilaporkan berkata wakil rakyat tidak akan menjadi pengerusi badan berkanun dan GLC bagi memastikan mereka boleh memberi tumpuan kepada memberi khidmat kepada rakyat.

“Terdapat 61 GLC di Sabah yang akan ditadbir oleh mereka yang kita boleh menaruh kepercayaan dan memikul tanggungjawab dengan baik dan berkesan,” katanya.

Profesor Fakulti Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Edmund Terence Eric Boniface Gomez dilaporkan memberi ingatan pada Julai bahawa ahli politik yang dilantik ke jawatan dalam GLC dan badan berkanun boleh menggunakan entiti ini demi kepentingan politik peribadi mereka.

“Masalah mengenai penglibatan ahli politik dalam badan berkanun atau GLC telah dibangkitkan dan saya telah menjelaskan bahawa ahli politik tidak harus terlibat sebagai pengarah mana-mana institusi ini.

Sebaik sahaja mereka dilantik ke jawatan dalam GLC, mereka nampaknya mempunyai kecenderungan untuk menggunakan GLC demi kepentingan politik sendiri, “katanya.

Dr Romzi berkata adalah penting bagi kerajaan untuk memenuhi janjinya secara berterusan.

Beliau juga berkata, gabungan parti yang memerintah perlu memberi peluang kepada rakyat untuk menyatakan pemikiran mereka melalui pelbagai pendekatan.

“Dengan berbuat demikian, kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sabah dapat menghalang dirinya daripada menjadi kerajaan yang paling dibenci oleh rakyat.

“Kerajaan negeri harus ingat, tanpa keputusan beberapa wakil rakyat yang dipilih yang menyeberang dari BN ke gabungan pimpinan Warisan, tidak akan ada kerajaan gabungan baharu di Sabah.

“Oleh itu, memastikan penyelenggaraan integriti politik sangatlah penting dalam kerajaan yang dipimpin oleh Warisan,” kata beliau.