Kerajaan Tidak Abai Keselamatan Pantai Timur

KOTA KINABALU: Keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) daripada ancaman jenayah rentas sempadan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berikutan itu kerajaan telah menjalankan kajian penstrukturan semula pihak berkuasa Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) agar fungsinya lebih berkesan.

Katanya, bagi tujuan itu beberapa cadangan telah dikemukakan termasuk pemindahan Kem Lok Kawi dari Putatan ke pantai timur Sabah.

Jelas beliau, beberapa langkah keselamatan juga telah diambil sebelum ini iaitu penubuhan 13 Briged Cenderawasih yang ditempatkan di Lahad Datu serta pewujudan Batalion Rejimen Sempadan di San Shui, Tawau.

Gambar hiasan.

“Disebabkan kekerapan berlaku jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan pantai timur, kerajaan negeri mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar Kem Lok Kawi dipindahkan untuk memantapkan keberkesanan kawalan keselamatan di persekitaran Esszone,” katanya dalan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Japlin Akim (Bersatu – Usukan) tentang cadangan kerajaan memindahkan Kem Lok Kawi ke pantai timur.

Mohd. Shafie berkata, beberapa cadangan lain turut dikemukakan kerajaan negeri kepada Pusat iaitu penambahan aset dan penempatan pangkalan udara serta penggunaan dron canggih secara manual.

Menjawab soalan tambahan Japlin selepas itu, kata Mohd. Shafie, Kerajaan Persekutuan mengalami kekangan kewangan tetapi beliau akan terus menyampaikan cadangan-cadangan kerana soal keselamatan negeri ini tidak boleh dipandang ringan.

“Di antara aspek yang terbaharu yang kita telah cadangkan ialah menggunakan dron supaya dron ini satu sistem boleh kita tempah, ia dikendalikan secara manual tapi kita gunakan dengan sistematik untuk mengawal kemasukkan bot-bot anasir jahat dari luar tanpa kita menggunakan kapal terbang berkuasa tinggi,” katanya.