Beliau berkata, perlumbaan masih berjalan kerana perbincangan akan dilakukan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Katanya, penentu atau pengakhiran kepada kemelut politik yang berlaku sekarang hanya akan diketahui selepas pertemuan bersama Perdana Menteri.
Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu, sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diterima oleh Hajiji turut membabitkan ADUN BN yang dirasuah oleh mereka.
“Sudah tentu dia (Hajiji) mempunyai 44 (sokongan ADUN), itu semua orang saya (BN). Mereka rasuah semua orang saya tapi, tidak apa sebab rundingan masih berjalan, ‘game still on’.
“Kami menunggu kedatangan Perdana Menteri esok. Beliau akan bertemu dengan kami, bertemu dengan Warisan dan bertemu GRS.
“Selepas itu barulah kita bercakap tentang perkara ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau tidak melihat akan ada sebarang upacara mengangkat sumpah di Istana Negeri esok.
Mengulas tentang jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar berkata, ketika ini kerajaan telah pun tumbang.
Kerajaan sekarang tidak ada sebab kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jadi, apabila BN menarik diri dan sokongan maka, Ketua Menteri sudah tiada.
Mengulas tentang pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Bung Moktar berkata, pertemuan itu bagi membincangkan hala tuju BN dan pergolakan politik Sabah.
Perdana Menteri dijangka tiba di Sabah esok bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku. Malah, Ahmad Zahid juga akan turut berkunjung ke Sabah.