Kerajaan Sekarang Cuba Selesai Kegagalan Jeffry Dan Pemerintah Dulu Atasi PATI

LORETTO PADUA

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Jeffrey Kitingan seolah-olah tidak sedar bahawa kehadiran ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah bermula sejak zaman kerajaan terdahulu iaitu semasa beliau masih di dalam Parti Bersatu Sabah (PBS).

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Loretto Padua Jr berkata, masalah PATI itu bagaimanapun tidak pernah diselesaikan oleh Jeffrey dan kerajaan terdahulu sehingga berlarutan ke hari ini.

Sehubungan itu katanya, Jeffry cuba mempolitikkan isu PATI apabila menuduh kerajaan Sabah ketika ini menjadi punca kedatangan golongan itu ke negeri ini bagi menutup kegagalannya.

Loretto berkata, sejak Warisan mengambil alih kerajaan, masalah PATI adalah isu yang cuba diselesaikan melalui beberapa langkah termasuk operasi memburu dan menghantar pulang golongan berkenaan.

“Kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dan tidak pernah lepas tangan dengan masalah kemasukan PATI ke Sabah, apa yang ingin diselesaikan oleh kerajaan adalah golongan PATI yang sudah berada di sini sejak 20, 30 tahun yang lalu dan  masalah kanak-kanak yang tidak berwarganegara.

“Kenyataan Jeffrey ini hanyalah untuk mengelirukan rakyat seolah-olah warganegara Filipina, Indonesia dan mungkin Rohingya akan bebas masuk ke Sabah disebabkan oleh polisi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Loretto, Jeffry bukan sahaja pemimpin yang gagal malah beliau tidak pernah memahami bagaimana masalah PATI di Sabah boleh berlaku.

Tegas beliau, pihak berkuasa sentiasa mengawal ketat sempadan negara, justeru tidak semudah itu untuk PATI masuk ke negeri ini sekarang.

Bagaimanapun katanya, disebabkan kegagalan pemimpin seperti Jeffry, masalah PATI kini semakin kompleks apabila golongan itu beranak pinak di Sabah dan tidak diterima oleh Filipina sebagai rakyat sendiri menyebabkan mereka menjadi rakyat tanpa negara.

“Masalah ini amat serius kerana negara Filipina sendiri tidak mahu mengiktiraf kanak-kanak tersebut sebagai warganegaranya.

“Selain daripada itu, ada juga di antara mereka yang memegang dokumen yang kasahihannya mencurigakan, isu ini yang Jeffrey gagal fikirkan,” katanya.

Sementara itu, Loretto mencabar Jeffry menyatakan bukti tentang tuduhannya kononnya pemimpin Warisan memberikan kad pengenalan kepada mangsa kebakaran.

Jelasnya, tindakan Jeffry sekarang tidak ubah seperti seorang pemimpin pembangkang sehingga lupa bahawa beliau kini di dalam Kerajaan Persekutuan.

“Saya cabar Jeffrey mengeluarkan bukti kepada tuduhannya ini, memandangkan beliau sekarang adalah timbalan menteri Persekutuan, adalah mudah baginya untuk bertanya dengan Menteri Dalam Negeri pada masa itu.

“Kuasa untuk memberikan warganegara adalah terletak pada Putrajaya dan bukan kerajaan negeri, sebagai seorang presiden parti yang memegang jawatan sebagai timbalan menteri Persekutuan, Jeffrey seharusnya tahu perkara ini,” katanya.