Kerajaan Sedia Tandatangani MoU Dengan Parti Lain Demi Transformasi, Kestabilan Politik – Annuar

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan terbuka untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan mana-mana parti pembangkang yang bersependapat untuk melakukan transformasi dan mencapai kestabilan politik di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata beliau percaya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini, bakal disusuli kerjasama serupa dengan parti-parti pembangkang lain.

“Sebenarnya kita percaya akan disusuli pula oleh parti-parti lain dalam saf pembangkang kerana kita masih ada Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda). Hatta kita masih ada wakil-wakil rakyat bebas.

Perjanjian ini tidak ‘exclusively’ (ekslusif kepada) PH. Kita telah sama-sama bersetuju bahawasanya  butir-butir yang dipersetujui bersama dengan PH boleh sahaja sekiranya ada pihak lain yang berkongsi pendapat, maka tindakan yang serupa akan dilakukan pihak kerajaan,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsi dalam aplikasi WhatsApp. 

Beliau juga menegaskan MoU itu tidak menghalang pembangkang daripada memainkan peranan mereka kerana ia bukanlah satu bentuk jajaran baharu politik mahupun kerajaan uniti, sebaliknya merupakan satu kaedah kerjasama di mana ada titik persamaan antara pembangkang dan kerajaan untuk mendapat majoriti di Parlimen.

Beliau berkata MoU itu terbentuk hasil pertukaran pandangan dan pemikiran atas pelbagai aspek, namun dengan satu semangat yang sama bersandarkan konsep inklusif yang ditawarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Daripada situ, terbitlah beberapa kerangka kerjasama atas skop-skop yang telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak,” katanya.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, satu bentuk kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu. 

Sementara itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata perjanjian itu merupakan satu elemen politik baharu ke arah demokrasi lebih matang demi kepentingan rakyat serta dapat mengurangkan perbezaan antara lawan politik.

“Semoga perkembangan ini membawa budaya politik yang lebih bersih dan segar,” katanya menerusi ciapan di laman sosial Twitter rasmi beliau, hari ini.

Gembira dengan perkembangan itu, beliau berkata MoU tersebut merupakan satu mercu tanda yang sangat penting dalam perjalanan politik Malaysia melalui amalan perundingan yang bersifat dwipartisan  antara kerajaan dan pembangkang.