Kerajaan Sedia Bantu Golongan Sasar Daftar Untuk Terima Vaksin COVID – Shahelmey

PUTATAN: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bersedia membantu proses pendaftaran golongan sasaran bagi menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Menterinya, Ir Shahelmey Yahya berkata, ini termasuklah langkah bantuan memudahkan pencapaian pangkalan data mereka yang layak melibatkan kumpulan sasar.

“Dari sudut kementerian, memang kumpulan sasar kita melibatkan warga emas, Orang Kelainan Upayaa (OKU), kanak-kanak, anak yatim semua, kita boleh membantu dari segi pangkalan data untuk mereka dapat menyertai program tersebut.

” Kita akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan melihat bagaimana kita membantu proses pendaftaran mereka yang kita sasarkan,” katanya semasa Program Derma Darah di Masjid Nurul Iman, Kampung Pasir Putih, hari ini.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menyeru kepada semua rakyat Sabah yang layak supaya menyertai program terbabit secara sukarela demi kepentingan awam.

Beliau berkata, program mendapatkan imunisasi Covid-19 ini adalah secara sukarela dan beliau menyeru semua rakyat yang layak mendapatkan vaksin.

“Ini kerana tujuannya bukan sahaja melindungi diri kita sendiri, tetapi kita melindungi masyarakat secara umum,” katanya.

Mengenai program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat ini berkata, acara terbabit memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan kepada bekalan tabung darah di negeri ini.

“Program derma darah anjuran Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Putatan ini amat dipuji dalam usaha kita memupuk kesedaran orang ramai dan menyumbang kepada bekalan tabung di hospital sedia ada.

” Saya juga berharap program murni sebegini akan terus diadakan di seluruh Sabah dari semasa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dalam satu kenyataannya di ibu negara baru-baru ini mendedahkan golongan warga emas dan OKU perlu diberi keutamaan bagi fasa kedua program PICK.

Rina berkata, ini memandangkan golongan tersebut adalah berisiko tinggi kerana berada dalam satu kelompok secara kebiasaannya.