Kerajaan Sarawak Peruntuk RM2.174 Untuk Pendidkan – Dr Annuar

SIBU: Kerajaan Sarawak telah  memperuntukkan sejumlah RM2.174 bilion kepada Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) sejak penubuhannya pada 2017, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam pembangunan modal insan.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri Dr Annuar Rapaee berkata walaupun pendidikan menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri tidak mahu membebankan kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, ini adalah kali pertama kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menubuhkan MESTR bagi memperbaiki keputusan pelajar di Sarawak yang ketinggalan dari segi pendidikan, terutamanya berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ini adalah sebahagian daripada  inisiatif kerajaan negeri untuk bersaing. Inilah sebabnya kementerian kita bukan mahu melaksanakan dasar yang berbeza tetapi ia untuk melengkapi dan membantu kerajaan Persekutuan demi untuk memangkin kemajuan pendidikan di Sarawak.

“Kami komited untuk melakukan semua perkara ini untuk menambah baik pembangunan pendidikan di Sarawak. Sebab kita tidak mahu bidang pendidikan di Sarawak terus ketinggalan lagi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata tugas pertama MESTR ialah menangani isu sekolah-sekolah usang, kerana didapati terdapat sejumlah 1,020 sekolah di negeri ini, selain meningkatkan taraf dan kualiti pendidikan di Sarawak.

Menurut Dr Annuar, terdapat lapan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak di bawah MESTR sejak 2017, dan salah satun daripadanya ialah membaiki atau menaik taraf infrastruktur serta kemudahan sekolah dengan peruntukan berjumlah RM1.4 bilion.

“Daripada RM1.4 bilion ini, RM1.0 bilion adalah bayaran pendahuluan kepada kerajaan Persekutuan untuk membaiki sekolah usang di negeri ini.

“Sementara itu, kami juga memperuntukkan RM4 juta untuk bantuan kepada sekolah yang terjejas akibat banjir. Kami mempunyai lebih 200 sekolah yang terjejas banjir setiap tahun kerana kedudukannya berhampiran tebing sungai.

“Maka kami berpendapat tiada gunanya untuk membaiki sekolah rosak yang dilanda banjir, kerana adalah lebih baik untuk membinanya di tempat baharu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga memperuntukkan sejumlah RM11.82 juta untuk Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) kepada pemimpin dan guru sekolah.

 “Kami memperuntukkan RM37 juta untuk promosi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik  (STEM) dan bahasa Inggeris.

“Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia menggunakan Bahasa Inggeris (STEM) secara keseluruhan sebagai bahasa pengantar untuk Tahun 1 (2020) dan sekarang ini sudah masuk Tahun 2,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM300 juta untuk penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Sarawak, serta pembangunan tenaga kerja dan promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (RM10.7 juta).

Selain itu, melibatkan penubuhan Pusat Sains Sarawak (RM200 juta) dan Majlis Pembangunan Penyelidikan Sarawak dan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (RM211 juta), katanya.